suria

Pengawal Istana Kelantan Yang Ditembak Meninggal Dunia

KOTA BARU: Pengawal Istana Kelantan yang koma selepas ditembak oleh penjenayah tidak dikenali awal bulan ini meninggal dunia di Hospital Raja Perempuan Zainab meninggal dunia awal pagi tadi.

Ramli Mohamad, 50, menghembuskan nafas terakhir pada pukul 3 pagi tadi.

Pemangku Sultan, Tengku Muhammad Faris Petra dijangka berangkat menghadiri majlis pengkebumian Allahyarham di Tumpat.

Pengelola Istana Diraja Kelantan Datuk Abdul Halim Hamad berada di Hospital awal pagi ini bersama beberapa pegawai Istana untuk menziarahi jenazah Allahyarham.

"Arwah kini dibawa ke bilik mayat untuk urusan jenazah," katanya.

Semalam Tengku Muhammad Faris menghulurkan sumbangan RM100,000 kepada Ramli sebagai bantuan untuk mengurangkan beban keluarga pengawal istana itu.

Ramli meninggalkan seorang isteri dan lima orang anak.

Dalam kejadian 1 Mei lepas, Ramli yang sedang menunggang motosikal untuk pulang ke rumah, ditembak oleh seorang suspek yang tidak dikenali di Kampung Kok Keli, Tumpat.

Beliau mengalami kecederaan parah akibat terkena empat das tembakan dari jarak dekat.

Berikutan kejadian itu Pemangku Raja, Tengku Muhammad Faris Petra menitahkan supaya kawalan keselamatan ke atas Sultan Kelantan Tuanku Ismail Petra ditingkatkan.

Artikel Lain