Lori Kontena Jatuh Jambatan, Pemandu Selamat - Semasa | mStar

Lori Kontena Jatuh Jambatan, Pemandu Selamat

Orang ramai melihat keadaan sebuah lori kontena yang terjunam dari jambatan di KM 229, Lebuh Raya Utara-Selatan (arah selatan) sebelum terhempas di tepi Jalan Astana Raja-Lubuk Cina. - Foto BERNAMA
Orang ramai melihat keadaan sebuah lori kontena yang terjunam dari jambatan di KM 229, Lebuh Raya Utara-Selatan (arah selatan) sebelum terhempas di tepi Jalan Astana Raja-Lubuk Cina. - Foto BERNAMA

REMBAU: Sebuah lori kontena terjunam dari jambatan di KM 229 Lebuhraya Utara Selatan (arah selatan) sebelum terhempas di tepi jalan Astana Raja-Lubuk Cina dekat sini hari ini.

Kejadian itu menyebabkan bahagian enjin lori terbabit terbakar dan pemandu lori itu, Azmi Deli, 37, cedera ringan dan dirawat sebagai pesakit luar di Hospital Tuanku Ja'afar (HTJ), Seremban.

Ketua Operasi Bomba Yusoff Samad berkata, pihaknya menerima panggilan mengenai kejadian itu pada kira-kira pukul 11.31 pagi dan tiga jentera bersama 15 anggota dari Rembau, Senawang dan Seremban 2 mengambil masa 10 minit memadamkan kebakaran.

Jurucakap polis berkata, ketika kejadian, lori kontena yang membawa barangan keperluan harian itu dalam perjalanan dari Bandar Baru Salak Tinggi ke Johor.

Lori kontena itu melanggar belakang sebuah lori lima tan, lalu terbabas sebelum merempuh besi penghadang jambatan dan terhumban ke bawah jambatan setinggi kira-kira 10 meter, katanya.

Beliau berkata, seorang pekerja kontrak rakyat Bangladesh yang berada didalam lori lima tan itu cedera parah dan dua rakannya serta pemandu lori itu cedera ringan dan kesemua mereka dihantar ke HTJ untuk rawatan.

Lori lima tan terbabit yang membawa batu tar untuk membaiki lebuh raya itu dikatakan hendak berhenti di lebuh raya itu apabila kemalangan berlaku.

Menurut seorang pekerja rakyat Bangladesh yang hanya dikenali sebagai Husin, 24, lori hendak berhenti apabila beliau mendengar dentuman kuat dari belakang lori.

"Saya dan seorang lagi rakan, Samim duduk di bahagian depan lori bersebelahan pemandu manakala seorang lagi rakan saya, Kamarulzaman di belakang lori. Akibat kemalangan itu saya cedera di muka manakala Kamarulzaman cedera parah di badan," katanya. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Berkaitan

Artikel Lain