suria

1.9 Juta Pekerja Asing Dicatat Sehingga 31 Disember 2009: Abu Seman

KUALA LUMPUR: Lebih 1.92 juta pekerja asing yang sah berada di negara ini sehingga 31 Disember tahun lepas.

Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Wira Abu Seman Yusop berkata, jumlah yang direkod itu adalah berdasarkan statistik Jabatan Imigresen Malaysia.

Beliau berkata, daripada 1,918,146 pekerja asing itu, Indonesia mencatat bilangan paling tinggi iaitu 991,940 orang, diikuti Bangladesh (319,020), Nepal (182,668), Myanmar (139,731) dan India (122,382).

Abu Seman berkata demikian ketika menjawab soalan Senator Ir Zamri Yusuf mengenai statistik pendatang tanpa izin dan pekerja asing berpermit ke negara ini pada persidangan Dewan Negara di sini, hari ini.

Beliau berkata, kerajaan tidak mempunyai data yang tepat mengenai bilangan pendatang tanpa izin kerana kemasukan golongan itu adalah tidak sah dan tidak direkod oleh mana-mana agensi.

"Bagaimanapun kerajaan menganggarkan pada masa ini terdapat seramai 1.9 juta pendatang tanpa izin iaitu berdasarkan anggaran bagi setiap seorang pekerja asing yang sah terdapat seorang pendatang tanpa izin," katanya.

Mengenai langkah kerajaan mengurangkan kebergantungan kepada pekerja asing sektor perkhidmatan, Abu Seman berkata kerajaan telah memperketatkan kelulusan pengambilan pekerja itu.

"Kita hanya membenarkan pengambilan di sektor perkhidmatan untuk jawatan tukang masak restoran, pekerja pembersihan dan pencucian serta pekerja pulau peranginan. Pekerja asing juga tidak dibenar bekerja di barisan hadapan," katanya. - BERNAMA

Artikel Lain