suria

Zaid Pertahan Nik Aziz

PETALING JAYA: Penyelaras Pakatan Rakyat, Datuk Zaid Ibrahim hari ini tampil mempertahankan tindakan Mursyidul Am PAS, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat sebelum ini yang mempertikaikan larangan penggunaan masjid dan surau untuk tujuan berpolitik.

Beliau berkata, titah Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah bahawa masjid tidak boleh digunakan untuk tujuan berpolitik mempunyai skop pemahaman yang luas.

"Saya yakin baginda berniat ikhlas dan jujur tetapi tafsiran titah itu mungkin diambil kesempatan oleh pihak-pihak tertentu," katanya dalam entri terbaru laman blognya http://myzaidibrahim.wordpress.com/.

Menulis dibawah tajuk 'Beza arahan dan pandangan peribadi', Zaid berkata, titah itu perlu diambil kira dalam konteks Perlembagaan Persekutuan dan kuasa-kuasa raja.

"Contohnya, apakah doa yang disambut oleh semua mukmin supaya “raja kita sanjung dan dipanjangkan umur” itu sebenarnya tidak bersifat politik?

"Kadang-kadang kita dengar dalam khutbah rasmi solat Jumaat memuji-muji kerajaan Barisan Nasional (BN), apakah itu bukan politik?," katanya.

Menurut Zaid lagi, berdasarkan Perlembagaan Persekutuan, sultan tidak boleh sewenang-wenangnya mengeluarkan perintah atau arahan.

"Titah itu adalah pendapat peribadi baginda. Ia bukan arahan, perintah atau “decree”. Dalam sistem Raja Berperlembagaan, sultan tidak boleh mengeluarkan arahan atau perintah seperti zaman raja-raja Melaka dahulu," katanya.

Jelas Zaid, berdasarkan Perlembagaan, apa jua kehendak baginda mestilah disalurkan melalui Majlis Agama Islam Negeri yang akan bermesuayarat.

Kemudiannya keputusan mesyuarat itu akan diwartakan atau dijadikan gazet tentang apa-apa peraturan yang dikira perlu seperti mengeluarkan fatwa yang sah dan sebagainya.

Bagaimanapun beliau menyifatkan pandangan Sultan Selangor itu sebagai satu nasihat yang baik untuk semua pihak.

"Pendapat sultan hanyalah pandangan peribadi, sekurang-kurangnya ia boleh dianggap sebagai nasihat yang baik untuk semua pihak, bukan bagi mana-mana individu atau kumpulan sahaja.

"Jadi tak timbul soal Tok Guru Nik Aziz melanggar arahan Sultan Selangor seperti yang didakwa oleh Perdana Menteri (Datuk Seri Mohd) Najib (Tun) Razak," katanya.

Katanya lagi, perbezaan pendapat antara Nik Abdul Aziz dan Sultan Selangor bukanlah satu kesalahan mahupun dianggap sebagai satu penghinaan.

"Tok Guru dan ramai lagi orang Islam yang tak sependapat dengan pendirian peribadi Sultan Selangor, pada zaman sekarang dan mengikut Perlembagaan, tak sependapat hanya bererti berbeza pandangan... ia bukan satu kesalahan, ia juga bukan perbuatan menghina," katanya.

Dalam tulisan berkenaan, Zaid turut menyatakan contoh tindakan Sultan Pahang yang menitahkan supaya bekas model sambilan, Kartika Sari Dewi Shukarnor supaya tidak dirotan.

Menurut beliau ia adalah tindakan yang sah kerana baginda Sultan Pahang mempunyai kuasa di bawah Enakmen Pentadbiran Agama Islam Negeri.

"Itu pun ramai yang membantah dan melenting, malah ada yang mengkritik keputusan Sultan Pahang, termasuk dari Persatuan Peguam Syarie Malaysia.

Artikel Lain