suria

Lima Maut Selepas Dua Kereta Bertembung Dekat Karak

KUANTAN: Lima daripada sebuah keluarga maut selepas kereta Proton Wira yang dinaiki mereka bertembung dengan sebuah kereta Honda Civic dalam satu kemalangan di Km 88, Jalan Kuantan Kuala Lumpur, berhampiran pekan Karak di sini hari ini.

Ketua Polis Daerah Bentong Supt Rosli Abdul Rahman berkata dalam kejadian pukul 4.30 petang itu, dua maut di tempat kejadian manakala tiga lagi meninggal dunia di Hospital Bentong, sementara dua yang menaiki Honda Civic mengalami cedera ringan.

Mereka yang maut ialah pemandu kereta Proton Wira itu Abdul Wafi Faujan, 41, isterinya Noraini Ahmad, 29, bayi lelaki mereka Mohd Halim, empat bulan, kakak kepada Noraini, Norhayati, 39 dan suaminya Zulkifli Jalil, 54.

Seorang lagi anak Abdul Wafi, Nasrul Amana Shafri, enam tahun cedera, kata Rosli ketika dihubungi di sini.

"Noraini dan kakaknya meninggal dunia di tempat kejadian dan tiga lagi meninggal di Hospital Bentong manakala dua lelaki yang menaiki kereta Honda Civic terbabit mengalami kecederaan ringan dan dirawat di Hospital Temerloh," katanya. Mengulas mengenai kejadian itu, Rosli berkata Proton Wira berkenaan yang dalam perjalanan dari arah Kuala Lumpur menuju ke Kuantan dipercayai cuba memotong sebuah kereta lain sebelum bertembung dengan kereta Honda Civic yang datang dari arah bertentangan.

"Akibat perlanggaran itu, dua mangsa yang menaiki Wira berkenaan maut di tempat kejadian kerana kecederaan parah di kepala, muka dan badan," katanya.

Beliau berkata kesemua mangsa yang tersepit di dalam kedua-dua kereta itu dikeluarkan dengan bantuan Jabatan Bomba dan Penyelamat Bentong.

Rosli seterusnya meminta mereka yang mempunyai maklumat mengenai kemalangan itu agar menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah Bentong di talian 09-2222222 atau balai polis berhampiran. - BERNAMA

Artikel Lain