suria

APMM Langkawi Rampas Daun Ketum, Tahan Empat Rakyat Tempatan

LANGKAWI: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Daerah Maritim 1 Langkawi menahan empat warga tempatan dan merampas 62 kg daun ketum di kawasan kira-kira 1.7 batu nautika utara Tanjung Singal, Langkawi malam tadi. Ketua Penguatkuasa Daerah Maritim 1 Langkawi Kapten Maritim Abdul Rahim Abdullah berkata Bot Kilat Enam milik APMM diketuai Bintara Muda Ahmad Salleh Mohd Ariff yang dalam rondaan menahan sebuah bot fiber dari arah Kuala Perlis ke Langkawi di perairan itu kira-kira pukul 12.30 malam tadi.

Pemeriksaan yang dibuat ke atas bot itu menjumpai 62 kg daun ketum termasuk dua kilogram yang diproses dalam guni dan beg pakaian serta menahan empat lelaki rakyat tempatan berusia antara 27 hingga 53 tahun, katanya pada sidang media di pangkalan APMM di Bukit Malut di sini hari ini.

Katanya nilai pasaran daun ketum itu RM6,400 dan empat yang ditahan akan direman.

Beliau berkata, mereka boleh dituduh di bawah Seksyen 30 (3) Akta Racun 1952, kerana pemilikan, pemprosesan atau jualan daun ketum dan boleh didenda sehingga RM10,000 atau dipenjara selama empat tahun. - BERNAMA

Artikel Lain