suria

Beg Salome Diragut Di Kota Bharu

KOTA BHARU: Beg tangan seorang pelancong wanita dari Perancis diragut sebaik sahaja beliau tiba di negara ini dari Thailand semalam.

Beg milik Barte Salome, 24, diragut ketika sedang bersiar-siar bersama teman lelakinya di Jalan Pintu Pong di sini kira-kira 10 malam.

Beliau berkata, beliau kehilangan pasport, kamera, wang tunai RM1,000 dan kad kredit apabila seorang lelaki bermotosikal meragut begnya.

Kunci bilik hotelnya di Thailand di mana beliau masih menempatkan bagasinya turut hilang, katanya.

"Saya pertama kali datang ke Malaysia melalui Thailand untuk ke Pulau Perhentian di Terengganu dan singgah di sini. Ini insiden pertama saya diragut di depan mata saya sendiri. Semua dokumen peribadi dan wang saya hilang.

"Saya tidak ada wang untuk pulang ke Perancis, rakan lelaki saya juga tidak mempunyai wang yang cukup," katanya yang jelas trauma dengan kejadian tersebut.

Salome sedang dalam misi menjelajah dunia dan sudah sampai di 15 buah negara sebelum ini.

Beliau telah melaporkan kejadian tersebut kepada pihak polis di sini yang telah membawanya bertemu dengan pihak Pelancongan Malaysia yang kemudiannya memberinya wang dan tiket bas ke Kuala Lumpur untuk meminta bantuan seterusnya daripada kedutaan Perancis.

Pengarah Pelancongan Malaysia cawangan Kelantan, Muhammad Zaki Talib berkata, beliau bersimpati dengan pelancong asing tersebut dan turut merasa malu dengan kejadian berkenaan. - BERNAMA

Artikel Berikut

Artikel Lain