suria

40 Positif H1N1 Sejak Awal Tahun Di Johor

JOHOR BAHARU: Seramai 40 pesakit dilaporkan positif jangkitan Influenza A (H1N1) sejak awal tahun ini di Johor, kata Pengarah Kesihatan Negeri Dr Mohd Khairi Yaakub.

Beliau berkata kesemua jangkitan itu berlaku di dalam negeri dan tidak melibatkan kematian.

"Kesemua pesakit telah dikuarantin dan dirawat di beberapa hospital di negeri ini," katanya.

Bercakap kepada pemberita selepas perasmian Klinik 1Malaysia di Taman Megah Ria oleh Anggota Parlimen Pasir Gudang Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin di sini hari ini, Dr Mohd Khairi berkata 704 pesakit dilaporkan positif H1N1 sepanjang tahun lepas.

Pihaknya akan meneruskan usaha pencegahan penularan penyakit itu sebagaimana tahun lepas dengan mengadakan pemeriksaan di pintu-pintu masuk ke negara ini.

Beliau mengingatkan agar orang ramai mengadakan langkah-langkah pencegahan dengan membuat pemeriksaan kesihatan jika batuk dan selesema serta memakai topeng muka di tempat awam.

Sementara itu beliau berkata sebanyak 691 kes denggi dicatatkan sejak awal tahun ini melibatkan tiga kematian.

Dua pesakit yang meninggal dunia itu adalah dari Segamat manakala seorang lagi dari Kota Tinggi.

Beliau menyeru orang ramai mengamalkan kebersihan di rumah masing-masing bagi mengelakkan pembiakan nyamuk Aedes. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain