suria

Brunei Pelawa Bank Rakyat Buka Cawangan

KUALA LUMPUR: Bank Rakyat dipelawa oleh kerajaan Brunei untuk membuka cawangan di negara itu, kata Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

"Semasa saya membuat lawatan ke Brunei, wakil kerajaan di sana telah menawarkan untuk membuka cawangan di sana, ini kerana mereka kagum dengan kejayaan Bank Rakyat di sini," kata beliau.

Namun, katanya, Bank Rakyat perlu mendapat kelulusan Bank Negara dan lembaga pengarah bank itu sebelum membuka cawangan di luar negara.

"Untuk merealisasikan hasrat berkenaan Bank Rakyat perlu terlebih dahulu membuat kajian dari segi produser serta mendapat kelulusan dari Bank Negara dan pihak lembaga pengarah syarikat kerana untuk membuka bank di luar negara bukan suatu perkara yang mudah," katanya.

Bercakap kepada pemberita selepas merasmikan Mesyuarat Agung Tahunan Bank Rakyat 2010 di Pusat Dagangan Dunia Putra hari ini, Ismail Sabri berkata bank Rakyat akan membuka enam cawangan baru pada tahun ini di mana tiga daripadanya di Semenanjung Malaysia dan tiga lagi di Sabah dan Sarawak.

Enam cawangan baru itu ialah di Bera (Pahang), Petrajaya (Sarawak), Kota Marudu (Sabah), Bentong (Pahang), Kuala Berang (Kedah) dan Limbang (Sarawak).

Sebanyak RM900,000 diperlukan bagi membuka setiap cawangan baru itu, katanya.

Sementara itu dalam ucapannya, beliau melahirkan rasa bangga dan mengucapkan tahniah kepada Bank Rakyat apabila mencapai keuntungan yang tinggi selama 56 tahun syarikat itu beroperasi.

Bank Rakyat mencatat keuntungan sebelum cukai dan zakat berjumlah RM1.550 bilion serta muncul sebagai institusi perbankan Islam yang terunggul dengan memiliki aset sebanyak RM50.67 bilion bagi tahun 2009.

Pada majlis itu juga, beliau telah melancarkan buku Membina Kegemilangan Bank Rakyat iaitu buku yang menceritakan mengenai sejarah perjalanan Bank Rakyat. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain