suria

Kerabat Nik Kelantan Sokong Tengku Mahkota Sebagai Pemangku Raja

KOTA BHARU: Kerabat Nik Kelantan (KNK) semalam mengisytiharkan sumpah taat setia tidak berbelah bahagi kepada Pemangku Raja, Tengku Muhammad Faris Petra dalam menjalankan tugas memerintah dan mentadbir negeri ini sepanjang Sultan Kelantan berada dalam keadaan gering.

Pengerusi Penajanya, Datuk Nik Sapeia Nik Yusuf berkata, KNK yang turut melibatkan Pertubuhan Kerabat Long Ghafar Kelantan dan Pertubuhan Kerabat Raja Jembal Kelantan mengisytiharkan taat setia itu kepada Tengku Muhammad Faris Petra berdasarkan peruntukan dalam Majlis Perajaan Negeri.

"KNK mewakili keseluruhan kaum kerabat raja dan rakyat Kelantan khususnya menyatakan rasa kurang senang dengan krisis yang berlaku di istana ketika ini.

"Dalam perjumpaan kaum kerabat hari ini, kami sebulat suara menyokong dan mengisytiharkan taat setia kepada Sultan Kelantan dan juga Pemangku Raja, Tengku Muhammad Faris Petra. Tidak ada orang kedua lagi.

"Kami juga menasihatkan mana-mana pihak terlibat supaya menghentikan pergolakan dan krisis perebutan kuasa yang wujud ini secepat mungkin bagi membolehkan Pemangku Raja menjalankan tugas kepada negeri, agama dan rakyat. Krisis ini perlu diselesaikan secara perbincangan kekeluargaan, bukan melalui media," katanya pada sidang media di pejabatnya di Telipot di sini semalam.

Turut hadir, Yang Dipertua Pertubuhan Kerabat Long Ghafar, Profesor Madya Engku Ibrahim Tengku Ismail dan Yang Dipertua Pertubuhan Raja Jembal, Nik Yusof Nik Muhammad serta bersama anggota jawatankuasa setiap pertubuhan.

Nik Sapeia berkata, seluruh ahli pertubuhan kerabat itu mahu semua pihak mematuhi peraturan yang sudah termaktub dalam perlembagaan dan menerima pelantikan Pemangku Raja sekarang.

Menurutnya, apa yang dilakukan pertubuhan itu ialah sebagai bukti mereka hanya menerima pelantikan dengan cara betul dan keputusan yang dicapai itu adalah untuk mempertahankan warisan beraja serta amanat nenek moyang.

"Apa yang kami buat ini adalah bukti bahawa kami hanya menerima pelantikan Tengku Muhammad Faris sebagai Pemangku Raja yang dibuat mengikut saluran betul dan keputusan sebulat suara yang kami berikan ini adalah untuk mempertahankan warisan beraja dan amanat nenek moyang kami.

"Kami mahu selamatkan institusi beraja supaya berada pada landasan betul dan tidak sewenang-wenangnya diperkotak-katikkan oleh pihak berkepentingan diri, kerana ini akan menjejaskan rasa hormat rakyat terhadap raja," katanya.

Beliau berkata, KNK dan pertubuhan kerabat di negeri ini akan berusaha mengadakan perjumpaan dengan Pemangku Raja untuk menyatakan sokongan serta melahirkan kekecewaan dengan apa yang berlaku.

Sementara itu, Engku Ibrahim menyatakan rasa sedih dengan apa yang berlaku dalam istana masa kini dan menyifatkan ia tidak wajar berlaku.

Beliau berkata, kira-kira 50,000 ahli keluarga dalam pertubuhan itu melahirkan kekecewaan dengan krisis yang melibatkan istana, di samping meminta semua pihak menghormati kesihatan Sultan yang sedang gering. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain