suria

Penjara Kluang Sedia Kemahiran Pada Tahanan Muda

KLUANG: Terdapat satu pusat latihan yang disediakan di dalam Penjara Kluang yang dikenali sebagai Sekolah Integriti Kluang, yang khusus memberi aliran kemahiran kepada banduan muda yang ditahan dipenjara tersebut.

Selain memberi kemahiran, sekolah ini turut menyediakan peluang kepada tahanan muda untuk melajutkan pelajaran di peringkat Penilaian Menengah Rendah (PMR), Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) malah Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM).

Sekolah Integriti Kluang yang diwujudkan pada 2008 dan kini mempunyai sembilan orang tenaga pengajar merupakan antara empat sekolah seumpanya yang terdapat di negara ini.

"Saya berharap peluang mempelajari kemahiran menjahit di sekolah ini dapat digunakan dengan sebaiknya apabila saya keluar nanti," kata Ahmad, 18, (bukan nama sebenarnya) yang sedang menjalani tahanan sejak setahun lalu, atas kesalahan merogol.

Dia merupakan salah seorang daripada 62 tahanan muda yang diberi peluang mempelajari kemahiran di sekolah berkenaan.

Abdul, 20, pula menyifatkan latihan menjahit merupakan peluang yang dinanti-nantikan selama ini.

"Bidang akademik sudah tidak boleh masuk lagi dalam fikiran saya. Jadi saya mahu tumpukan kepada kemahiran menjahit," katanya yang ditahan atas kesalahan samun bersenjata.

Seorang guru, Khairunisa Omar berkata, tahanan muda yang memilih untuk memasuki latihan kemahiran menjahit didedahkan dengan kemahiran asas menjahit seluar dan baju.

"Ia memberi harapan dan keyakinan kepada tahanan muda untuk terus menjalani kehidupan apabila bebas daripada penjara kelak," kata beliau.

Timbalan Pengarah Pelajaran Johor, Markom Giran berkata, Jabatan Pelajaran Johor akan memberikan bantuan kepada Sekolah Integriti Kluang bagi memastikan pelajarnya menerima pendidikan dan latihan kemahiran yang mencukupi.

Katanya, jabatan tersebut bercadang untuk menghantar guru pemulihan khas bagi membantu para tahanan muda yang masih belum menguasai kemahiran 3M (Menulis, Membaca dan Mengira). - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain