suria

Tuanku Mukhriz Dianugerah Darjah Kebesaran Kelantan

KUALA PILAH: Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Ibni Almarhum Tuanku Munawir hari ini menerima anugerah Darjah Kerabat Yang Amat Dihormati D.K. Kelantan (Al-Yunusi) daripada Pemangku Raja Kelantan, Tengku Muhammad Faris Petra Ibni Sultan Ismail Petra.

Anugerah itu disampaikan oleh Tengku Bendahara Kelantan, Tengku Muhamaad Fa'iz Petra Ibni Sultan Ismail Petra yang mewakili Pemangku Raja Kelantan pada istiadat yang berlangsung di Istana Besar Seri Menanti dekat sini.

Pengelola Istana Kelantan, Datuk Abdul Halim Hammad dalam satu kenyataan berkata, D.K Kelantan merupakan anugerah peringkat tertinggi yang dianugerahkan atau dikurniakan kepada Raja-Raja Melayu atau sesiapa yang dirasakan layak oleh Sultan ataupun Pemerintah Negeri Kelantan.

Katanya, penganugerahan D.K Kelantan kepada Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan hari ini mencerminkan satu hubungan yang rapat di antara negeri Kelantan dengan Negeri Sembilan dan hubungan yang rapat di antara dua institusi diraja khususnya.

Rombongan Tengku Bendahara Kelantan tiba di Istana Besar Seri Menanti dengan diiringi oleh Tengku Seri Jaya Raja Tengku Mohamad Rizam Tengku Abdul Aziz dan Setiausaha Kerajaan Negeri Kelantan, Datuk Mohd Aiseri Alias.

Turut menyaksikan istiadat penganugerahan itu ialah Exco Negeri Sembilan, Datuk Muhammad Razi Kail, Setiausaha Kerajaan Negeri Sembilan, Datuk Mat Ali Hassan dan Mufti Negeri Sembilan, Datuk Mohd Yusuf Ahmad. - BERNAMA

Artikel Berikut

Artikel Lain