suria

Kerajaan Tidak Bercadang Pinda Seksyen 51A Kanun Tatacara Jenayah

KUALA LUMPUR: Kerajaan tidak bercadang meminda Seksyen 51A Kanun Tatacara Jenayah (CPC) berhubung pembekalan dokumen kepada pembelaan, kerana pelaksanaannya selaras dengan semangat ia diwujudkan, Dewan Rakyat diberitahu hari ini.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz berkata dalam melaksanakan seksyen tersebut, kerajaan berpendirian bahawa ia telah mematuhi kehendak seksyen itu sebagaimana yang dimasukkan melalui Akta Kanun Tatacara Jenayah (Pindaan) 2006 (Akta A1274).

"Oleh itu, tidak wujud persoalan bahawa pelaksanaan peruntukan tersebut tidak selaras dengan semangat ia dimasukkan dalam Kanun Tatacara Jenayah.

"Pihak pendakwaan sememangnya terikat dengan peruntukan tersebut dan sentiasa mematuhinya semasa menjalankan pendakwaan," katanya semasa menjawab soalan Mohd Yusmadi Mohd Yusoff (PKR-Balik Pulau) di Parlimen di sini.

Beliau mahu Perdana Menteri menyatakan pendirian kerajaan mengenai pelaksanaan Seksyen 51A didakwa tidak menepati semangat pindaan seksyen tersebut.

Mohamed Nazri berkata sebelum perbicaraan dimulakan, pihak pendakwaan akan membekalkan tertuduh dengan maklumat yang diberikan mengikut Seksyen 107 Akta 593, dokumen yang akan digunakan dalam perbicaraan dan fakta yang berpihak kepada tertuduh, sekiranya ada.

"Fakta yang menyebelahi pihak tertuduh akan dibekalkan untuk mencapai perbicaraan yang adil," katanya.

Bagaimanapun, beliau berkata mengikut subseksyen 51A(2), pihak pendakwaan boleh untuk tidak membekalkan dokumen dan fakta kepada tertuduh sekiranya pembekalan itu adalah bertentangan dengan kepentingan awam.

"Berkenaan dengan peruntukan ini, kerajaan menyedari hakikat bahawa hak dan kepentingan tertuduh perlu dijaga tetapi hak dan kepentingan tersebut perlu diseimbangkan dengan kepentingan orang ramai termasuk mangsa dan saksi yang mempunyai risiko tinggi untuk terdedah kepada bahaya dan ancaman," katanya.

Beliau berkata beban untuk membuktikan kesalahan tertuduh terletak pada pendakwaan dan bagi mensabitkan seseorang dengan sesuatu kesalahan, bukti serta keterangan yang tidak boleh disangkal perlu ada terhadap kes prima facie atau penilaian maksimum.

Mohamed Nazri juga berkata pendakwaan mempunyai tugas yang berterusan dalam menyemak apa-apa fakta atau keterangan yang memihak kepada tertuduh.

"Dalam menjalankan tugas tersebut dan melaksanakan peruntukan Seksyen 51A, pihak pendakwaan bersikap terbuka, peka dan bertindak secara munasabah serta sentiasa mendukung hasrat kerajaan dan semangat pindaan kepada Kanun Tatacara Jenayah tersebut," kata beliau.

Bagaimanapun, katanya, keputusan akhir berhubung pembekalan dokumen dan fakta yang dipohon mengikut Seksyen 51A perlu dibuat oleh mahkamah. - BERNAMA

Artikel Berikut

Artikel Lain