suria

Penjara Dan Sebatan Rotan Terhadap Bekas Pelajar Dikekalkan

PUTRAJAYA: Mahkamah Persekutuan di sini hari ini mengekalkan hukuman penjara 18 tahun dan 12 sebatan rotan terhadap seorang bekas pelajar kerana memiliki 22.88 gram heroin.

Hakim Datuk Wira Mohd Ghazali Mohd Yusoff yang mengetuai tiga panel hakim, Hakim Datuk Seri James Foong Cheng Yuen dan Datuk Heliliah Mohd Yusof menolak rayuan Mahasin Yasir Mahamad Yusoff.

Ghazali, ketika menolak rayuan itu berkata adalah "mitos untuk menawarkan diskaun" bagi kes yang membabitkan dadah kerana kebanyakan pesalah terlibat dalam jenayah lain seperti ragut.

Hakim Heliliah pula berkata Mahkamah Persekutuan tidak dapat secara timbangtara mengurangkan hukuman itu kerana ia akan dilihat sebagai menafikan hukuman yang dikenakan oleh Mahkamah Tinggi dan Mahkamah Rayuan.

Beliau berkata sebarang pengurangan dalam hukuman mestilah berdasarkan prinsip undang-undang.

Mahasin Yasir, 31, ketika itu seornag pelajar di sebuah pusat kemahiran kerajaan untuk belia, pada mulanya didakwa kerana mengedar dadah di Kompleks Kastam Rantau Panjang di Pasir Mas, Kelantan pada pukul 3.10 petang pada 16 Ogos , 2002.

Bagaimanapun, pada akhir kes pendakwaan, Mahkamah Tinggi Kota Bahru pada tahun 2004, mengurangkan pertuduhan itu kepada memiliki di mana Mahasin memohon untuk dibicarakan.

Dia didapati bersalah kerana memilikinya pada akhir kes pembelaan dan hukuman 18 tahun dan 12 sebatan rotan.

Rayuan dia untuk memgurangkan hukuman itu ditolak oleh Mahkamah Rayuan.

Pada prosiding mahkamah hari ini, peguam Mahasin Yasir, Mohd Fozi Zain tidak menyentuh mengenai rayuan hukuman itu tetapi memberikan hujah berkaitan hukuman memohon mahkamah mengurangkan tempoh hukuman penjara dengan alasan bahawa dadah itu didapati dalam jumlah yang kecil.

Bagaimanapun, Timbalan Pendakwa Raya Manoj Kurup, berkata bahawa Mahasin Yasir diberikan peluang kedua kerana pendakwaan tidak merayu terhadap keputusan Mahkamah Tinggi untuk mengurangkan pertuduhan. - BERNAMA

Artikel Lain