suria

Banyak Lagi Artifak Di Gua Bewah

KUALA TERENGGANU: Lembaga Muzium Negeri Terengganu (LMNT) percaya terdapat banyak lagi artifak bersejarah yang belum ditemui di Gua Bewah di Tasik Kenyir, dekat sini.

Pengarah LMNT, Mohd Yusof Abdullah berkata, pihaknya akan meneruskan usaha mencari artifak ITU dan kerja ekskavasi akan bermula 15 Mac ini.

"Kita percaya banyak lagi artifak berkaitan masyarakat prasejarah berada di Gua Bewah dan gua-gua berhampiran seperti Gua Taat. Justeru, kita akan teruskan kerja ekskavasi kita," katanya kepada Bernama hari ini.

Pada 6 Februari lepas, sekumpulan ahli arkeologi dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Jabatan Muzium Negara dan LMNT yang menjalankan kerja ekskavasi di Gua Bewah sejak tiga bulan lepas menemui rangka manusia dipercayai dari zaman Mesolitik.

Rangka manusia dipercayai remaja, dianggar berusia 8,000 hingga 11,000 tahun.

Mohd Yusof berkata, sepanjang menjalankan kerja ekskavasi itu, mereka menemui lebih 600 artifak seperti rangka manusia, tulang binatang, sisa makanan dan tembikar dipercayai berusia melebihi 10,000 tahun.

"Kita akan hantar artifak yang dijumpai ini untuk dianalisis untuk kita mengetahui sama ada ia datang dari zaman Mesolitik atau Neolitik. Dari segi sejarah, penemuan artifak di Gua Bewah itu penting bagi memudahkan muzium mengetahui susur galur penduduk Terengganu," katanya.

Mohd Yusof juga berkata, Muzium Kemaman yang dalam proses baik pulih, dijangka dapat dibuka kepada umum menjelang akhir tahun ini.

Muzium Kemaman adalah muzium kedua diwujud di Terengganu selepas Muzium Dungun. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain