suria

Pelajar MRSM Kuantan Hasilkan Bata Dari Tandan Sawit

KUANTAN: Tandan kelapa sawit yang biasanya dibuang didapati mampu dijadikan bahan penting dalam sektor pembinaan.

Itulah yang dibuktikan oleh dua pelajar Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Kuantan di sini, Nur Azimah Najihah Mohamad Afandi dan Fatimah Zahrah Mohd Sobri, yang berjaya menghasilkan batu bata daripada tandan kelapa sawit yang banyak terdapat di negara ini.

Kedua-dua pelajar berusia 18 tahun itu mengambil masa setahun bagi membangunkan projek dikenali "high silica brick" yang pada mulanya hanya merupakan sebahagian daripada satu program pengajian bagi mendapatkan sijil graduasi MRSM.

Melihat potensi kajian berkenaan, mereka bersama guru penasihat, Siti Faridah Jusoh, berulang alik ke Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) di Bangi untuk menjalankan kajian lebih terperinci kerana peralatan makmal di sekolah mereka adalah terhad.

Hasilnya, penemuan mereka itu telah memenangi pingat emas bagi kategori fizik pada pertandingan Tunas Saintis MRSM Ogos tahun lepas serta pingat gangsa di Ekspo Teknologi Malaysia baru-baru ini yang turut disertai mahasiswa institusi pengajian tinggi dalam dan luar negara.

Kajian berkenaan juga akan menyertai International Sustainable World (Energy, Engineering & Environment) Project Olympiad (I-SWEEEP) di Houston, Amerika Syarikat, dari 14 hingga 19 April ini.

Jika menerima penghargaan pada acara berprestij itu, batu bata berkenaan dijangka dipaten dan dikomersialkan.

Nur Azimah Najihah, yang berasal dari Klang berkata, batu bata dengan ukuran 10cmx10cmx10cm ciptaan mereka itu mempunyai daya tahan yang lebih kerana terdapat kandungan silika yang tinggi pada tandan kelapa sawit berbanding batu bata biasa berasaskan pasir.

Malah, kata pelajar yang kini menunggu keputusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) itu, batu bata terbabit juga lebih ringan, keras dan yang paling penting, mesra alam sekitar.

"Sumber semula jadi seperti pasir semakin berkurangan, jadi penggunaan tandan kelapa sawit yang biasanya dibuang ini lebih mesra alam," katanya kepada Bernama di sini hari ini.

Nur Azimah Najihah berkata, sudah ada kajian menggunakan tandan kelapa sawit sebagai bahan binaan sebelum ini, namun penyelidikan yang dilakukan oleh MRSM Kuantan berbeza sedikit kerana ia 100 peratus bebas penggunaan pasir.

Pengetua MRSM Kuantan, Khalil Abdul Rahman berkata, beliau yakin projek dua pelajar terbabit mampu mencipta kejayaan di Texas nanti.

Beliau berkata, penemuan tersebut merupakan satu inovasi yang penting disebabkan kekurangan sumber semula jadi dunia pada masa ini.

Khalil juga berkata, MRSM Kuantan mengharapkan tajaan daripada Mara sendiri atau pihak-pihak lain bagi membantu mengurangkan kos ketika pelajar-pelajar berada di Texas nanti.

Katanya, sumber kewangan yang terhad selain kekurangan peralatan sering menjadi kekangan kepada perkembangan daya kreatif pelajar sekolah tersebut yang kini menerima status Program Khas Pendidikan.

Dua lagi pelajar sekolah itu yang turut mencipta kejayaan merangkul pingat gangsa di pertandingan International Robotic Olympiad di Daejeon, Korea, bagi kategori "Robot Dancing" pada 17 hingga 20 Dis tahun lepas turut menghadapi masalah serupa.

Bagaimanapun, menurut Khalil, atas keprihatinan ibu bapa melalui Badan Permuafakatan Pendidikan Mara Malaysia (Muafakat) sekolah itu, yang diketuai Yang Dipertuanya, Zamhuri Talib, sebanyak RM5,000 berjaya disalurkan bagi pembelian peralatan dalam menghasilkan robot berkenaan.

Katanya, penyertaan pelajar tingkatan lima sekolah itu, Azri Irsyad Juhari dan Ahmad Azra'i Jamal, merupakan pemenang tunggal dari Malaysia yang turut diwakili sembilan lagi pelajar dari sekolah lain.

Khalil berkata, sebagai langkah jangka masa panjang, MRSM Kuantan bercadang mewujudkan satu pusat sehenti di sekolah terbabit yang dilengkapi peralatan canggih serta bahan rujukan terkini bagi memudahkan pelajar melakukan kajian dan pembangunan.

Beliau berharap alumni sekolah itu dapat menghulurkan bantuan bagi merealisasikan hasrat MRSM Kuantan melahirkan lebih ramai pelajar berinovasi. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Zulkifli Cabar PKR Supaya Dipecat?

Artikel Berikut

Artikel Lain