suria

Malaysia-India Meterai Perjanjian Tingkat Kerjasama Pasaran Modal

KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Sekuriti (SC) dan Lembaga Sekuriti dan Bursa India (SEBI) hari ini menandatangani perjanjian bagi mengukuhkan lagi hubungan dan mengenal pasti peluang rentas sempadan pada masa akan datang melalui pasaran modal.

"Perjanjian Kerjasama Pasaran Modal India-Malaysia" ditandatangani oleh Pengerusi SC, Tan Sri Zarinah Anwar, dan Pengerusi SEBI, C.B. Bhave, yang disaksikan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dan rakan sejawatan Dr Manmohan Singh.

"Berdasarkan hubungan erat di antara India dan Malaysia, serta potensi dan kekuatan dalam pasaran modal masing-masing, kami harap dapat meningkatkan hubungan dengan India ke peringkat lebih tinggi dengan perjanjian ini," kata Zarinah dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Beliau berkata perjanjian berkenaan menunjukkan komitmen kedua-dua pihak kawal selia untuk bekerjasama dalam membangunkan pasaran masing-masing serta dalam bidang kerjasama rentas sempadan yang relevan.

Perjanjian tersebut akan mengukuhkan lagi kerjasama pengawalseliaan di antara SC dan SEBI termasuk mengkaji penubuhan kerangka kerja pengiktirafan bersama dalam segmen utama pasaran modal.

Ia juga bagi memudahcarakan pengawasan pasaran rentas sempadan yang lebih baik dan pertukaran pengetahuan teknikal.

Selain tu, perjanjian itu juga akan meneliti bidang-bidang rentas penyenaraian dan rentas dagangan dalam pasaran masing-masing.

Berikutan pemeteraian perjanjian itu, kedua-dua pengawal selia tersebut akan menubuhkan kumpulan kerja dua hala bagi mencapai objektif perjanjian.

SC dan SEBI mempunyai hubungan yang telah lama terjalin, bermula daripada Memorandum Persefahaman yang ditandatangani pada 2001.

Pada 2008, hubungan itu dikukuhkan lagi apabila kedua-duanya menganjurkan Forum Pasaran Modal India-Malaysia di Mumbai yang menarik lebih 250 peserta daripada pasaran modal India dan Malaysia. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Lain