suria

Tun Dr Mahathir Ucap Takziah Kepada Keluarga Tok Mat

KUALA TERENGGANU: Bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad hari ini mengucapkan takziah kepada keluarga bekas Menteri Penerangan Tan Sri Mohamed Rahmat yang meninggal dunia di kediamannya di Bukit Damansara, pagi semalam.

"Semasa menjadi menteri, Allahyarham telah menjalankan tugas dengan sempurna, saya hargai tugasnya.

"Saya ucap takziah kepada keluarga Tan Sri (Mohamed), saya terhutang budi kepada khidmatnya semasa menjadi menteri dalam kabinet saya dan semasa menjadi Duta Malaysia ke Indonesia dengan taraf menteri dulu," katanya.

Mohamed atau yang lebih dikenali dengan panggilan "Tok Mat" disedari meninggal dunia di kediamannya di Bukit Damansara di sini pada kira-kira 8 pagi ini ketika isterinya Puan Sri Salbiah Abdul Hamid mahu menutup mesin dialisis yang dipasang pada tubuh suaminya itu.

Menggalas tugas sebagai Menteri Penerangan sebanyak dua kali iaitu pada 1978-1982 dan 1987-1999, Mohamed mempunyai cara tersendiri sebagai ejen penerangan kerajaan untuk memastikan segala dasar kerajaan sampai ke peringkat akar umbi.

Selain jawatan Menteri Penerangan, Mohamed juga memegang jawatan Setiausaha Agung Umno dan Barisan Nasional dari 1988 hingga 2004, serta pernah menjadi Timbalan Menteri Kewangan (1973) dan Timbalan Menteri Perdagangan dan Industri (1974). -BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain