suria

Peraturan Standard Keselamatan Permainan Kanak-Kanak Berkuat Kuasa 1 Julai

PUTRAJAYA:Kerajaan hari ini membuat keputusan menunda tarikh penguatkuasaan peraturan standard keselamatan bagi alat permainan kanak-kanak sehingga Julai depan.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, sepatutnya tarikh penguatkuasaannya ialah pada 30 Januari ini.

Bagaimanapun jelasnya, ia terpaksa dilanjutkan kerana terdapat masalah dengan Institut Piawaian dan Penyelidikan Perindustrian Malaysia (Sirim).

"Dua peraturan yang telah dilanjutkan tersebut adalah Peraturan Perlindungan Pengguna (Perakuan Kelulusan Dan Tanda Pematuhan Standard Keselamatan)2009 serta Peraturan Perlindungan Pengguna (Standard Keselamatan Bagi Mainan)2009," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Menurut Ismail Sabri, bagi memastikan alat permainan kanak-kanak tersebut bebas dari bahan kimia yang berbahaya, ia mesti diperiksa terlebih dahulu bagi mendapatkan pengesahan.

"Para pengilang, pembekal dan penjual termasuk pengimport mainan kanak-kanak perlu memastikan produk mereka mendapat pengesahan kualiti daripada Sirim sebelum dijual di pasaran," katanya.

Selain itu, beliau turut memberitahu dua makmal di luar negara yang juga telah diakui untuk membuat pemeriksaan itu iaitu International Laboratory Accreditation Cooperation (ILAC) dan Asia Pasific Laboratory Accreditation Cooperation(APLAC).

Menurutnya lagi, barangan permainan yang telah disahkan akan tertera lambang Malaysian Conformity (MC) dan selamat untuk digunakan dan ia hanya melibatkan kanak-kanak berumur kurang 14 tahun.

Dalam pada itu, Ismail Sabri memberitahu, denda yang akan dikenakan terhadap individu yang didapati melanggar peraturan tersebut adalah penalti sebanyak RM100,000 bagi individu dan RM250,000 bagi syarikat.

Artikel Lain