suria

Tertuduh Kes Bunuh Pensyarah UiTM Lepas Tanpa Bebas Kes Miliki Dadah

SHAH ALAM: Seorang pemandu forklift yang dijatuhi hukuman gantung sampai mati kerana membunuh pensyarah Universiti Teknologi Mara (UiTM) Bakarudin Busu, tujuh tahun lepas, menghadapi satu lagi tuduhan memiliki dadah jenis heroin di dalam tandas Hospital Sungai Buloh, Oktober lepas.

Bagaimanapun, tertuduh Noorman Ab Wahab, 31, dilepas tanpa dibebaskan daripada tuduhan itu hari ini selepas Mahkamah Sesyen di sini membenarkan permohonan pihak pendakwaan agar kes itu dipindahkan ke Mahkamah Majistret.

Timbalan Pendakwa Raya Suzana Abdul Latiff membuat permohonan itu kepada Hakim Hasbi Hasan selepas memperolehi laporan kimia berhubung berat dadah terbabit.

Tertuduh didakwa memiliki satu bungkusan plastik lutsinar mengandungi 10 bungkusan kertas kecil majalah serbuk berwarna oren disyaki heroin seberat kirakira 10.86 gram di dalam tandas Wad 4b, Hospital Sungai Buloh, kira-kira pukul 9.55 pagi, 16 Oktober lepas.

Dia didakwa mengikut Seksyen 12 (2) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 39A (2) Akta yang sama yang memperuntukkan hukuman penjara minimum lima tahun dan maksimum 20 tahun serta sekurang-kurangnya 10 kali sebatan, jika sabit kesalahan.

Noorman yang pertama kali dihadapkan ke mahkamah pada 3 November lepas mengaku tidak bersalah dan minta dibicarakan terhadap tuduhan itu.

Tertuduh yang diwakili peguam Suzana Nurlihan Alias hadir di mahkamah memakai seragam Penjara Kajang diiringi dua pegawai penjara.

Pada 13 November lepas, Mahkamah Tinggi menjatuhkan hukuman gantung sampai mati ke atas Noorman dan rakan karibnya, Sulkarnain Alias, 32, seorang eksekutif jualan, setelah didapati bersalah membunuh Bakarudin, 35, yang mayatnya dijumpai separuh rentung dalam longkang di Jalan SS19/6, Subang Jaya, pada 12 Februari 2002. BERNAMA

Artikel Lain