suria

Banjir Di Terengganu, Kelantan dan Pahang Semakin Pulih

BANJIR PULIH...Tinjauan melalui udara bersama dengan Unit Udara Polis Di Raja Malaysia mendapati keadaan di pintu masuk sempadan Rantau Panjang dan Sg Golok mendapati keadaan semakin pulih dan segalanya berjalan lancar.-Foto BERNAMA.
BANJIR PULIH...Tinjauan melalui udara bersama dengan Unit Udara Polis Di Raja Malaysia mendapati keadaan di pintu masuk sempadan Rantau Panjang dan Sg Golok mendapati keadaan semakin pulih dan segalanya berjalan lancar.-Foto BERNAMA.
BANJIR PULIH...Tinjauan melalui udara bersama dengan Unit Udara Polis Di Raja Malaysia mendapati keadaan di pintu masuk sempadan Rantau Panjang dan Sg Golok mendapati keadaan semakin pulih dan segalanya berjalan lancar.-Foto BERNAMA.

KUALA LUMPUR: Keadaan banjir di Terengganu, Kelantan dan Pahang semakin pulih pagi ini berikutan keadaan cuaca yang semakin baik dan jumlah mereka yang ditempatkan di pusat pemindahan berkurangan.

Di KOTA BAHARU, jumlah mangsa di pusat pemindahan kini tinggal 1,943 orang berbanding 2,245 malam tadi dan hanya dua pusat pemindahaan di dua jajahan masih dibuka iaitu Pasir Mas dan Tumpat, menurut jurucakap Pusat Kawalan Operasi Banjir (PKOB) Negeri kepada Bernama di sini hari ini.

"Pusat pemindahaan banjir di Pasir Mas menempatkan jumlah mangsa yang tertinggi iaitu 1,122 orang, dan Tumpat pula seramai 821 orang," katanya.

Sementara itu, hanya dua jalan masih ditutup kepada kenderaan ringan iaitu di Pasir Mas, di Kilometer 11, Jalan Pohon TanjungRantau Panjang, Kampung Siram, di Tumpat, di kilometer 6 hingga 7 iaitu Jalan Cabang 4/Kampung Jambu/Meranti.

Bacaan paras air sungai di Kelantan juga menunjukkan penurunan dan sehingga pagi ini hanya satu sungai yang masih berada di atas paras bahaya iaitu Sungai Golok di Rantau Panjang serta Sungai Kelantan di Jambatan Guillemard pula berada atas paras berjaga-jaga, katanya.

Di KUALA TERENGGANU, jumlah mangsa yang masih berada di pusat pemindahan semakin berkurangan kepada 3,067 orang, dan semua jalan utama di Terengganu boleh dilalui termasuk beberapa jalan yang ditutup sebelum ini, menurut jurucakap Majlis Keselamatan Negara (MKN) negeri itu.

Beliau berkata bacaan paras air sungai di negeri ini adalah pada paras biasa, kecuali Sungai Setiu di Kampung Bukit melebihi tahap bahaya iaitu 13.37 meter, dan tahap bahaya ialah 12 meter.

Di KUANTAN, mangsa banjir terakhir iaitu lima sekeluarga yang ditempatkan di Balai Raya Kampung Kundang Patah telah dibenarkan pulang ke rumah mereka di Kampung Tasik Ria, Sementah pagi ini.

Di Perak, jumlah mangsa banjir di daerah Kerian sehingga pukul 5 petang ini masih kekal seramai 562 orang.

Ketua Polis Daerah Kerian, Supt Mat Fauzi Nayan berkata, mereka masih ditempatkan di tiga buah pusat pemindahan iaitu Sekolah Kebangsaan Bagan Serai, Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) Bagan Serai, dan Sekolah Kebangsaan Matang Buluh.

Mereka berasal dari Ladang Sungai Bogak, Ladang Sungai Kerian, Kampung Euw Sing dan Kampung Parit Simpang Lima, katanya.

Mat Fauzi berkata air di kampung terbabit masih bertahan sedalam satu meter sejak lebih dua minggu lepas akibat limpahan daripada empangan Kolam Bukit Merah serta Sungai Beriah. BERNAMA

Artikel Berikut

Artikel Lain