suria

Isu PMBK: Nik Aziz Arah Ariffahmi Letak Jawatan CEO

Nik Abdul Aziz Nik Mat bersama Ariffahmi Abdul Rahman dan Haron Din pada sidang akhbar di Kota Bharu, semalam.
Nik Abdul Aziz Nik Mat bersama Ariffahmi Abdul Rahman dan Haron Din pada sidang akhbar di Kota Bharu, semalam.
Nik Abdul Aziz Nik Mat bersama Ariffahmi Abdul Rahman dan Haron Din pada sidang akhbar di Kota Bharu, semalam.

KOTA BAHARU: Menteri Besar Kelantan, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat semalam mengarahkan menantunya Abdul Ariffahmi Abdul Rahman meletak jawatan sebagai Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Menteri Besar Kelantan (PMBK) setelah menerima pandangan PAS Pusat.

Nik Abdul Aziz, yang juga Mursyidul Am PAS, berkata arahan itu dikeluarkan setelah satu rombongan PAS pusat bertemu dengan beliau selama sejam di kediaman rasminya di sini semalam.

Antara pemimpin PAS yang hadir ialah Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang, Naib Presiden Salahuddin Ayub, Bendahari, Dr Hatta Ramli dan Timbalan Mursyidul AM PAS Datuk Dr Haron Din.

"Semuanya nasihat saya untuk menjaga nama baik kepimpinan Islam khususnya PAS. Nasihat kepada saya supaya menantu saya mengundur diri.

"Dulu masa saya lantik beliau, ada Penasihat Undang-undang, beliau tidak komen apa. Jadi saya lantik. Nanti untuk elak fitnah melalui bermacam saluran seperti surat layang jadi tidak mahu fitnah ini berkembang," katanya kepada pemberita selepas pertemuan itu di sini semalam.

Isu menantu Nik Aziz timbul setelah Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menyerbu PMBK dua kali untuk menyiasat dakwaan surat layang berhubung tuduhan kronisme, salah guna kuasa dan mempersoalkan pelantikan anggota keluarga terdekat menerajui syarikat milik kerajaan (GLC) yang mempunyai peranan begitu besar pada Ogos tahun lepas dan awal bulan ini.

Pada 11 November lalu, Blogger Kickdefella dan juga bekas pegawai perhubungan korporat PMBK, Syed Azidi Syed Abdul Aziz berkata beliau bersedia bekerjasama dengan pihak berkuasa untuk mendedahkan apa yang sebenarnya berlaku dalam perbadanan itu.

Nik Abdul Aziz berkata arahan peletakan jawatan itu dibuat demi menjaga nama baik Islam dan kepimpinan PAS.

Pada sidang media yang sama Ariffahmi berkata beliau menerima arahan dan akan meletakkan jawatannya setelah mengira baki cuti yang tinggal dalam PMBK.

"Saya ingin menyatakan saya dapat terima keputusan ini dengan hati yang lapang dan keputusan ini dibuat untuk menjaga nama baik kepimpinan Islam, kepimpanan PAS Kelantan dan parti.

"Terima Kasih kerana saya diberi kepercayaan kepada Tok Guru selama lapan tahun di PMBK dan jawatan terakhir saya adalah Ketua Pegawai Eksekutif," katanya.

Sementara itu wakil delegasi PAS pusat, Sallahuddin berkata beliau menyifatkan keputusan Nik Abdul Aziz sebagai bukti integriti yang tinggi kerana menerima pandangan PAS pusat dengan mengetepikan kepentingan keluarga dan dirinya demi perjuangan Islam dan parti.

"Tok guru menunjukkan sikap cukup tinggi nilai moralnya yang mengutamakan jemaah," katanya.

Beliau berkata sememangnya dalam pindaan Akta SPRM jelas menyatakan peruntukan bahawa menantu atau anggota keluarga tidak boleh dilantik. BERNAMA

Artikel Lain