suria

Lelaki terselamat dalam tembakan bertalu-talu

RANTAU PANJANG: Ibarat pepatah berpantang maut sebelum ajal, seorang lelaki terselamat dalam cubaan membunuhnya walaupun ditembak bertalu-talu di hadapan ibunya di rumah mereka di Taman Perumahan Taman Mas di sini malam tadi.

Dalam kejadian pada 7.30 malam itu, Mohd Izwani Ismail, 26, hanya mengalami kecederaan ringan apabila terkena dua das tembakan di pahanya.

Ibunya, Azizah Daud, 50, berkata ketika kejadian, dia dan anak sulung daripada empat beradik itu sedang bersiap untuk keluar rumah sebelum didatangi individu tidak dikenali di depan pintu rumah yang melepaskan beberapa das tembakan.

"Saya dan Izwani berada di meja makan sebelum lelaki yang berada di pintu rumah tiba-tiba melepaskan tembakan ke arah Izwani yang kemudiannya rebah.

"Lelaki itu melarikan diri bersama seorang rakannya dengan sebuah motosikal," katanya kepada pemberita di rumah itu di sini hari ini.

Azizah berkata ia kejadian kedua yang menimpa Mohd Izwani selepas kejadian pertama di negara jiran April lalu yang hampir meragut nyawa anaknya itu.

"Tidak sangka ini kali kedua berlaku dan di rumah sendiri," katanya.

Mohd Izwani, yang merupakan seorang pengganggur, kemudiannya dibawa ke Hospital Raja Perempuan Zainab II Kota Baharu bagi menerima rawatan.

Pemberita tidak dibenarkan oleh polis untuk menemubual Mohd Izwani.

Seorang anggota keluarganya berkata keadaan Mohd Izwani stabil dan tidak mengalami kecederaan serius.

Ketua Polis Daerah Pasir Mas, Supt Haliluddin Rahim, ketika dihubungi berkata polis menemui enam kelongsong peluru di tempat kejadian.

Haliluddin berkata polis tidak menolak kemungkinan kejadian itu berpunca daripada masalah peribadi. BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain