suria

Manohara diberi tempoh seminggu failkan pembelaan

KOTA BAHARU: Mahkamah Tinggi Syariah di sini, hari ini memberikan tempoh tujuh hari lagi kepada isteri Tengku Temenggong Kelantan, Cik Puan Temenggong Manohara Odelia Pinot untuk memfailkan pembelaannya terhadap dua tuntutan saman suaminya Tengku Muhammad Fakhry Sultan Ismail Petra bagi mengembalikan semula hutang dan perintah kembali taat.

Hakim Mohd Yusof Awang memberikan tempoh itu berkuatkuasa hari ini selepas Manohara gagal berbuat demikian selepas tempoh 14 hari yang diberikan sejak 2 Ogos lalu.

"Sepatutnya pihak defendan tidak memberikan alasan untuk tidak memfailkan pembelaan itu yang mahkamah telah memberikan tempohnya. Pihak defendan sepatutnya mematuhi perintah yang telah dibuat.

"Mahkamah putuskan peguam defendan perlu memfailkan pembelaan dalam tempoh tujuh hari bermula hari ini," katanya ketika membuat keputusan itu pada sebutan semula kes tersebut hari ini.

Pada 4 Julai lepas, Tengku Muhammad Fakhry memfailkan dua saman iaitu menuntut agar isterinya kembali taat dan menyerahkan semula hutang tersebut sebanyak RM972,750.

Namun 2 Ogos lepas, Tengku Temenggong Kelantan itu telah menambah tuntutan tersebut kepada RM1,112,250.

Hutang itu termasuk pemberian jam jenama Audemars Piguet bernilai RM174,000 dan selebihnya adalah kiriman wang sebanyak enam kali bagi kegunaan defendan dan ibunya.

Kedua-dua saman tersebut difailkan masingmasing di Mahkamah Rendah dan Mahkamah Tinggi Syariah di sini.

Sebelum itu berlaku perang mulut antara peguam defendan yang diwakili Mohd Faiz Adnan dengan peguam mewakili plaintif iaitu Zainul Rijal Abu Bakar mengenai alasan mengapa Manohara masih gagal memfailkan pembelaan itu.

Mohd Faiz Adnan yang dibantu Roshdan Sujak Rafie memberikan beberapa alasan seperti alamat tempat tinggal plaintif yang tidak jelas, tiada peruntukan atau seksyen yang jelas berkaitan tuntutan dan kekeliruan maksud nusyuz seperti yang dinyatakan.

"Ini merupakan satu kekeliruan yang ditimbulkan pihak plaintif dan sebab itu kami tidak boleh memfailkan pembelaan selagi perkara berkaitan tidak diperjelaskan terlebih dahulu," kata Mohd Faiz.

Zainul Rijal kemudiannya menjelaskan apa yang dinyatakan peguam defendan itu sematamata mahu menutup kelemahan mereka yang gagal mematuhi perintah mahkamah dan jelas untuk melewatlewatkan kes yang menjadi perhatian dua negara itu.

Pada satu ketika Mohd Yusof terpaksa menenangkan keduadua belah pihak apabila Zainul Rijal mendakwa peguam defendan telah melanggari etika tatacara peguam kerana gagal memaklumkan serta menuntut maaf kepada plaintif berhubung kegagalan memfailkan pembelaan itu.

Mohd Yusof kemudiannya menetapkan dua hari iaitu 8 November dan 20 Disember depan sebagai tarikh perbicaraan kes tuntutan tersebut.

Zainul Rijal ketika ditemui di luar mahkamah berkata jika pihak defendan gagal memfailkan pembelaan, perbicaraan tersebut akan diteruskan.

Beliau berkata Tengku Temenggong Kelantan bersedia untuk memberikan keterangannya pada hari perbicaraan nanti bagi mempertahankan haknya. BERNAMA

Artikel Lain