suria

Populariti dan aura lengkapi pakej Isa Samad

KOMBINASI populariti dan aura yang dimiliki Tan Sri Mohd Isa Samad disifatkan sebagai pelengkap pakej yang diperlukan Barisan Nasional (BN) bagi menghadapi pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Bagan Pinang.

Usah dipertikaikan populariti yang dimiliki oleh Mohd Isa kerana beliau bukanlah orang asing di kalangan pengundi di Bagan Pinang kerana bekas Menteri Besar Negeri Sembilan itu merupakan pemimpin yang mesra, selesa bergaul dengan sesiapa sahaja malah disenangi oleh masyarakat pelbagi kaum.

Berdasarkan faktor populariti itu juga Umno menurunkan Mohd Isa sebagai calon BN untuk berentap dengan calon PAS di DUN Bagan Pinang.

Nama Mohd Isa juga sememangnya sudah meniti di bibir penduduk tempatan yang mahukan beliau kembali berkhidmat sebagai wakil rakyat, malah jika benar beliau menjadi pilihan pengundi yang akan menjalankan tanggungjawab mereka pada 11 Oktober depan, Ketua Umno Bahagaian Teluk Kemang itu akan berkhidmat kepada orang kampungya sendiri.

Lebih menarik tatkala Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin ingin mengumumkan nama calon BN pada majlis sambutan hari raya aidilfitri di Teluk Kemang semalam.

Muhyiddin pada mulanya tidak mengumumkan secara rasmi nama calon BN, sebaliknya beliau seakan berkias dengan meminta tetamu dan penyokong yang hadir untuk menyebut sendiri siapakan calon yang diinginkan oleh mereka sebagai calon.

"Anda mahu siapa jadi calon Bagan Pinang," soalannya disambung oleh kira-kira 10,000 tetamu yang hadir dengan jawapan 'Mohd Isa'.

Soal Muhyiddin sekali lagi: "Siapa?"

Kali ini jeritan jawapan yang kedengaran lebih kuat tetap dengan nama Mohd Isa.

Muhyiddin sekali lagi mengulangi soalannya buat kali ketiga dan lautan manusia yang membanjiri majlis tersebut tetap menyebut nama Mohd Isa.

Setelah tiga kali orang ramai menjerit nama Mohd Isa, maka Muhyiddin dengan rasminya berkata: "Kalau begitu... nah calon Bagan Pinang ialah Tan Sri Mohd Isa."

Jelas sekali aura serta populariti yang dimiliki Mohd Isa begitu kuat di kalangan penduduk tempatan malah Umno dan BN sendiri seakan akur dengan permintaan dan kehendak pengundi.

BIODATA TAN SRI MOHD ISA SAMAD

PROFIL

Nama: Tan Sri Mohd Isa Samad

Tempat lahir: Sungai Udang Melaka

Tarikh lahir: Melaka pada 14 November 1949

Isteri: Puan Sri Hazizah Tumin (meninggal dunia di Hospital Universiti Kebangsaan Malaysia (HUKM) Cheras, Kuala Lumpur pada 7 Disember 2005 akibat kanser parotid yang dihidapi sejak 1995)

Anak: 4 - Mohd Najib (31), Megawati (28), Lelawati (25), dan Juhaida (20)

PENDIDIKAN

Memulakan pendidikan awal di Sekolah Kebangsaan Bagan Pinang sebelum melanjutkan pelajaran ke Sekolah Alam Shah, Kuala Lumpur dan seterusnya menyambung pelajaran sehingga ke peringkat universiti di Universiti Malaya, Kuala Lumpur.

Beliau memperoleh Ijazah Sarjana Muda Sastera (Pengajian Melayu) Universiti Malaya dan dan Diploma Pendidikan (1998).

KARIER POLITIK

Kerjaya politik Mohd Isa bermula pada tahun 1978 setelah beliau memenangi kerusi DUN Linggi.

Di peringkat akar umbi, beliau menjadi Ketua Umno Bahagian Teluk Kemang, Port Dickson sejak 1982 sehingga sekarang.

Kemudian beliau dilantik menjadi Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan (EXCO) Negeri Sembilan sehinggalah pilihan raya 1982 apabila beliau dilantik sebagai Menteri Besar Negeri Sembilan.

Mohd Isa menyandang kerusi DUN Linggi sejak 1978 sehinggalah pada tahun 2004 apabila beliau beralih bertanding kerusi Parlimen Jempol dan kemudiannya dilantik sebagai Menteri Wilayah Persekutuan, jawatan kerajaan terakhir yang beliau sandang sebelum metelakkan jawatan pada tahun 2005.

Pada tahun 1993, Mohd Isa mencuba nasib bertanding jawatan Ketua Pemuda Umno tetapi tewas kepada Tan Sri Abdul Rahim Thamby Chik dan pada tahun berikutnya beliau mencuba nasib pula bertanding jawatan naib presiden Umno tetapi tewas juga.

Mohd Isa akhirnya memenangi jawatan Naib Presiden Umno bagi penggal 2004/2007 dengan memperoleh 1,507 undi, iaitu undi tertinggi mengatasi Ketua Menteri Melaka Datuk Seri Mohd Ali Rustam (1,329 undi) dan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri ketika itu Tan Sri Muhyiddin Yassin (1,234 undi).

Bagi Pensyarah Pusat Pengajian Sains Kemasyarakatan Universiti Sains Malaysia (USM), Prof Dr Ahmad Atory Hussain, beliau juga tidak menolak faktor aura dan populariti yang dimiliki oleh Mohd Isa boleh membawa kemenangan kepada BN.

"Tan Sri Isa cukup pakejnya... dia dah lengkap, ada personaliti, cukup berpengalaman, bijak serta sangat disayangi oleh penduduk tempatan.

"Pendek kata semuanya dah ada untuk beliau sebagai calon bagi menghadapi pilihan raya kecil, tapi bagaimanapun ia terpulang kepada pengundi yang akan menentukan siapa pilihan mereka nanti... dalam politik segala kemungkinan boleh berlaku," katanya kepada mStar Online.

Mohd Isa pernah berkhidmat sebagai Menteri Besar Negeri Sembilan selama 22 tahun dari April 1982 hingga Mac 2004.

Beliau juga merupakan bekas Menteri Wilayah Persekutuan dan bekas Naib Presiden Umno sebelum keahliannya digantung selama tiga tahun (24 Jun 2005 hingga 23 Jun 2008) setelah didapati bersalah terhadap dakwaan amalan politik wang dalam Perhimpunan Agung Umno 2004.

Bagaimanapun ternyata kemahuan dan kehendak pengundi serta adunan populariti dan aura yang dimiliki Mohd Isa tidak menyekat semangatnya untuk menggalas tanggungjawab sebagai calon di DUN Bagan Pinang.

Penduduk tempatan nyata sekali sudah melupakan serta memaafkan kesalahan yang tercatat dalam sejarah karier politiknya sebelum ini.

"Inilah budaya yang diamalkan Umno, orang-orang Umno sememangnya senang melupakan dan memaafkan.

"Mereka tidak terus menghukum seseorang yang sudahpun menjalani hukuman," kata Ahmad Atory.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

7 Oktober hari perdamaian PAS-DAP?

Artikel Lain