suria

Polis cari 4 lelaki dipercayai ragut pelajar perempuan dan ibunya

JOHOR BAHRU: Polis meminta kerjasama orang ramai bagi membantu usaha mengesan empat lelaki yang dipercayai terlibat dalam satu kes ragut seorang pelajar perempuan, Tan Shu Fang dan ibunya pada 17 Sept lepas, yang membawa kepada kematian pelajar itu.

Timbalan Ketua Polis Johor Datuk Jalaluddin Abdul Rahman berkata keempat-empat lelaki tempatan itu dikenal pasti hasil siasatan pasukan khas polis yang memembabitkan enam pegawai dan 25 anggota.

"Mereka yang dicari terdiri daripada Mohd Hafiezy Hasbullah @ Boy Sentosa, yang memiliki kad pengenalan bernombor 831203-12-5119 dan beralamat di nombor 10, Jalan Kasa 8, Taman Sentosa, Johor Baharu; Muhammad Alif Afdzal Mat Yoob @ Alip, kad pengenalan bernombor 860302-03-5273 dan beralamat di Lot 1201, Jalan Tun Teja 1, Kangkar Tebrau , Johor Baharu.

"Mohd Fairus Abdul Jalal @ Windi, memiliki kad pengenalan bernombor 860820-03-6757 dan beralamat di 32, Jalan Teratai 21, Taman Johor Jaya, Johor Baharu, dan seorang lagi yang hanya dikenali sebagai Samsul Arif Yusof @ Aspal," katanya kepada pemberita di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor, di sini, Rabu.

Katanya siasatan mendapati Mohd Hafiezy yang pernah terlibat dalam beberapa kes jenayah sejak tiga tahun lepas baru sahaja dibebaskan dari tahanan di bawah Ordinan Darurat pada 5 Julai lalu, dan dia dipercayai mendidik tiga rakannya itu untuk terlibat dalam jenayah ragut.

Jalaluddin berkata polis percaya keempat-empat mereka juga terbabit dengan penyalahgunaan dadah, dan berada di bawah pengaruh dadah semasa meragut Tan dan ibunya.

Beliau meminta orang ramai yang mengenali keempat-empat lelaki itu supaya menyalurkan maklumat ke talian hot line 07-2212999 atau menghubungi pegawai penyiasat ASP V.Annadorai dengan menelefon 019-2639965 bagi membantu siasatan.

Dalam kejadian 17 Sept lepas Tan, 17, pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Mutiara Rini 2, yang terjatuh sebaik diragut penjenayah bermotosikal berdekatan rumahnya di Taman Ungku Tun Aminah, Skudai, kira-kira pukul 2.30 petang ketika menaiki motosikal bersama ibunya, untuk ke kelas tuisyen, mengalami kecederaan di kepala dan koma sebelum meninggal dunia kira-kira pukul 5.30 petang di Hospital Sultanah Aminah, Jumaat lepas.

Sementara itu, Jalaluddin berkata polis menahan 64 orang termasuk lapan pekerja sebuah pusat hiburan di Jalan Datuk Abdullah Tahir di sini, yang beroperasi melebihi masa, selepas menyerbu premis berkenaan kira-kira pukul 7.45 pagi ini.

Beliau berkata 38 daripada mereka yang ditahan yang berumur antara 20 dan 30 tahun itu didapati memiliki dadah dan positif mengambil dadah. BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

7 Oktober hari perdamaian PAS-DAP?

Artikel Lain