suria

Malaysia-Indonesia ibarat menarik rambut dalam tepung

JAKARTA: Untuk memastikan kerukunan hidup berjiran, Malaysia dan Indonesia tidak boleh alpa dalam meningkatkan hubungan yang baik dan harus bijak bertindak meleraikan semua kemelut yang berpotensi mengganggu hubungan dua hala.

Menteri Luar Malaysia Datuk Anifah Aman berkata ibarat menarik rambut dari dalam tepung, rambut seharusnya tidak putus dan tepung tidak berselerak, kedua-dua negara, baik rakyat mahupun media massa perlu sentiasa berhati-hati dalam melapor dan menulis komentar, ia perlu berdasarkan kepada fakta yang tepat.

Sambil menegaskan yang beliau menghargai kebebasan media, Anifah meminta media menulis berita yang tepat supaya rakyat dapat menganalisisnya dengan baik dan media tidak menyebarkan polemik yang boleh merenggangkan hubungan.

Pada sidang media bersama dengan Menteri Luar Indonesia Hassan Wirajuda selepas perbincangan kira-kira 90 minit di sini hari ini, beliau memberi contoh laporan media mengenai tarian Pendet yang berasal dari Bali, yang dituduh kononnya Malaysia mencurinya dan memanfaatkannya untuk tujuan komersil, dalam mempromosi pelancongan.

"Malaysia tidak pernah mendakwa tarian Pendet miliknya dan Discovery Channel (yang berpejabat di Singapura, yang membuat video klip itu) membuat penjelasan seterang-terangnya, sejelas-jelasnya. Jadi saya berpendapat bahawa isu itu sudah tidak harus timbul lagi," katanya.

Anifah berkata laporan yang tidak tepat seperti itu tentunya menimbulkan kebimbangan dan rasa tidak selesa baik di kalangan rakyat Malaysia di Indonesia mahupun rakyat Indonesia di Malaysia.

Hassan pula ketika menjawab soalan Bernama pada persidangan media itu berkata beliau percaya majoriti rakyat Indonesia adalah rasional dan tidak mudah terpancing dengan usaha-usaha yang cenderung mengarahkan kepada permusuhan antara rakyat kedua-dua negara.

Beliau seterusnya meminta media mendapatkan fakta yang benar-benar tepat sebelum melaporkannya.

Beliau memberi contoh tuduhan terbaru kononnya Malaysia mendakwa memiliki Pulau Jemur yang dipromosikan sebagai destinasi pelancongan, yang terbukti tidak benar kerana sebetulnya ada dua buah pulau yang menggunakan nama yang sama iaitu Pulau Jemur di Indonesia dan Pulau Jemor di perairan Selangor, Malaysia.

"Jadi kadang-kadang kita suka rebut sendiri terhadap sesuatu yang belum jelas, bahawa ada Pulau Jemor milik Malaysia dan milik Indonesia di Bengkalis. Begitu juga dulu, terkait tuduhan ke atas Pulau Berhala, sebetulnya ada enam pulau dengan nama sama iaitu tiga di Indonesia dan tiga di Malaysia.

"Jadi media jangan cepat terbakar terhadap sesuatu yang belum jelas. Dapatkan fakta yang tepat terlebih dahulu," kata Hassan, yang menambah bahawa kerajaan Indonesia tidak boleh melaksanakan 'censorship' namun ia hendaklah menjadi tanggungjawab media massa untuk mendapatkan fakta yang tepat.

Kedua-dua menteri itu menegaskan bahawa baik Malaysia mahupun Indonesia sangat menghargai hubungan dua hala yang baik dan melihat ke masa depan bersama sebagai negara berjiran yang lebih baik dan maju dan pemerintah kedua-dua negara memang memahami hal-hal berkaitan warisan kebudayaan bersama.

Kerajaan kedua-dua negara, kata Anifah pula, percaya bahawa mereka akan meneruskan komunikasi dalam pelbagai isu dan meningkatkan usaha mengeratkan hubungan bagi mengelak salah faham termasuk melalui acara sukan peringkat pegawai, pertukaran kebudayaan dan juga media massa.

"Kami sepakat untuk mengurangi hal-hal yang akan menjadi isu sensitif bagi masyarakat dua negara termasuk dakwaan berhubung budaya agar tidak ada salah faham dan perpecahan hubungan Indonesia-Malaysia lagi," tambah Hassan, sambil menambah bahawa sebagai jiran kedua-dua negara berkongsi banyak produk budaya dan seni.

Anifah kemudiannya melakukan kunjungan hormat ke atas Presiden Indonesia Susilo Bambang Yudhoyono di Istana Presiden.

Anifah ketika ditemui kemudiannya berkata Susilo lebih banyak melihat ke arah masa depan bersama kedua-dua negara termasuk dalam hal mempelbagai kegunaan produk minyak sawit seperti untuk sumber baru tenaga. BERNAMA

Artikel Sebelum

Umat Islam sambut Aidilfitri Ahad

Artikel Berikut

Artikel Lain