suria

Abdullah sokong Umno hapus sistem kuota

KEPALA BATAS: Bekas Presiden Umno, Tun Abdullah Ahmad Badawi hari ini menyokong keputusan Majlis Tertinggi (MT) parti itu untuk menghapuskan sistem kuota bagi pemilihan parti.

Beliau percaya keputusan yang dibuat oleh peringkat kepimpinan parti itu akan mendapat sambutan bukan sahaja daripada anggota malahan penyokong dan peminat Umno di negara ini.

"Keputusan itu baik, saya sokong dan keputusan peringkat kepimpinan parti elok dilaksanakan. Saya percaya sambutan daripada anggota Umno hangat dan penyokong serta peminat Umno menyokong tindakan itu," katanya kepada pemberita selepas menyampaikan sumbangan Hari Raya Aidilfitri kepada 216 penerima di Kawasan Dewan Undangan Negeri (KADUN) Pinang Tunggal, di sini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan Presiden parti, Datuk Seri Najib Tun Razak pada Jumaat bahawa MT bersetuju menghapuskan sistem kuota bagi pemilihan parti dan menambah jumlah perwakilan yang akan hadir pada perhimpunan agung parti itu.

Najib dilaporkan berkata, keputusan itu bertujuan membanteras politik wang dan menjadikan proses pemilihan lebih telus dan demokratik selain menunjukkan Umno benar-benar parti yang melibatkan pelbagai golongan masyarakat. Abdullah juga yakin keputusan itu akan menggembirakan ramai pihak dan berharap ia menjadi tindakan yang boleh mengurangkan amalan politik wang dalam parti.

Menurutnya, tindakan itu juga lahir daripada kesedaran Umno untuk melakukan perubahan dan pembaharuan kepada parti itu agar ia dapat terus memperjuangkan nasib anggota, bangsa, agama dan negara secara berkesan.

Katanya, ketika beliau menerajui parti itu sebelum ini, tiada cadangan dikemukakan kecuali "suarasuara terpencil" yang mahu parti membaiki diri. BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain