suria

Ah long beroperasi secara haram diberkas

KUANTAN: Seorang lelaki ditahan dalam satu serbuan di di sebuah rumah teres dua tingkat kawasan perumahan Air Putih dekat sini, malam semalam, kerana dipercayai terbabit dalam kegiatan "Ah Long".

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Negeri Pahang, Supt Zaini Jass berkata hasil maklumat orang awam, sepasukan polis yang diketuai ASP N. Madhavan bersama lima anggota melakukan serbuan di rumah lelaki berusia 40 tahun itu kirakira pukul 11.20 malam.

Katanya polis merampas 1,200 keping kad nama, penyata akaun, sebuah buku dipercayai mempunyai senarai nama peminjam, rekod transaksi bank dan buku kiraan kutipan wang harian.

"Suspek ditahan kerana menjalankan aktiviti perniagaan pemberi pinjam wang tanpa lesen dan siasatan awal mendapati suspek berkemungkinan menjalankan aktiviti itu secara berkumpulan," katanya pada sidang akhbar di sini, hari ini.

Zaini berkata suspek disiasat mengikut Seksyen 5 (2) Akta Pemberi Pinjam Wang 1951 dan jika sabit kesalahan boleh dikenakan denda tidak kurang RM20,000 dan tidak melebihi RM100,000 atau penjara tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya.

Dalam perkembangan lain, Zaini meminta orang ramai lebih berhatihati sekiranya didekati atau dihubungi mereka yang memperkenalkan diri sebagai pegawai bank bagi menuntut hutang kad kredit.

Beliau berkata sejak Jun lepas, sebanyak 13 laporan membabitkan penipuan seumpama dilaporkan di Pahang.

"Kes terbaru ialah pada 2 Sept lepas, di mana seorang mekanik kerugian RM23,990 dalam tempoh dua hari selepas diperdaya seorang lelaki yang menyamar sebagai pegawai bank.

"Mangsa, 30 tahun, telah dihubungi lelaki yang menyamar itu ketika dia (mangsa) berada di tempat kerjanya di Kuala Lipis. Lelaki itu mengatakan bahawa mangsa mempunyai hutang dengan bank melalui kad kredit sedangkan mangsa tidak mempunyai kad kredit daripada bank yang dikatakan suspek.

"Ketika di talian, suspek meminta mangsa supaya ke mesin ATM dan menekan butang pada mesin itu seperti yang diarahkannya supaya masalah kad kredit itu dapat diselesaikan dan ketika di talian itu, mangsa tanpa sedar menyalurkan wangnya sebanyak RM4,994 ke dalam akaun lain.

Keesokan harinya pula, mangsa yang berada di rumahnya di Raub menerima satu lagi panggilan daripada seorang wanita dan meminta suspek supaya melakukan perkara sama dan kali ini mangsa telah menyalurkan sebanyak RM18,996, katanya.

Zaini berkata mangsa kemudian melaporkan perkara itu kepada polis selepas menyedari beliau ditipu. BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain