suria

Prof Ismail diserang sakit jantung dalam kapal terbang

Profesor Datuk Dr Ismail Md Salleh
Profesor Datuk Dr Ismail Md Salleh
Profesor Datuk Dr Ismail Md Salleh

SINGAPURA: Pakar Ekonomi Senator Prof Datuk Dr Ismail Md Salleh meninggal dunia akibat serangan jantung semasa dalam penerbangan dari China ke Singapura awal hari ini, kata isteri Allahyarham, Datin Hasnah Wahab.

Hasnah yang turut berada dalam penerbangan itu menemani suaminya mendapati Ismail yang sedang tidur di kerusi sebelahnya tiba-tiba terlintuk kepalanya ke atas bahunya.

"Saya dapati suami saya sudah tidak bernyawa dan bila saya pegang, tangannya sudah sejuk," kata Hasnah kepada Bernama semasa ditemui di Masjid Ba'alwie di Jalan Lewis di sini sementara menunggu jenazah Ismail diuruskan.

Hasnah berkata suaminya meninggal dunia dalam kapal terbang kira-kira 2.30 pagi iaitu kira-kira sejam suku sebelum pesawat itu dijadual tiba di Lapangan Terbang Changi.

Menurutnya, Ismail, 61, ke China kerana menghadiri satu mesyuarat mengenai urusan universitinya, International University College of Technology Twintech.

Mereka bertolak dua hari lepas (25 Ogos) dan pulang malam keesokannya (26 Ogos) dan dijadual tiba di Singapura pada 3.45 pagi ini.

Sebaik tiba di sini, jenazah Ismail dibawa ke Hospital Besar Singapura kira-kira 8 pagi untuk dibedah siasat bagi mengetahui punca kematian.

Jenazah Ismail kemudian dibawa ke Masjid Ba'alwie untuk dimandi dan dikafankan.

Kakitangan Suruhanjaya Tinggi Malaysia di Singapura yang diketuai oleh Timbalan Pesuruhjaya Tinggi Datuk Ahmad Anuar Adnan membantu menguruskan jenazah Ismail.

Jenazah Ismail kemudian disembahyangkan oleh Imam Hasan Al-Attas bersama para pegawai kedutaan dan jemaah masjid.

Jenazah kemudian dimasukkan ke dalam van jenazah untuk dibawa ke Lapangan Terbang Senai, Johor untuk diterbangkan oleh pesawat Tentera Udara Diraja Malaysia ke Lapangan Terbang Subang.

Hasnah berkata jenazah suaminya akan dibawa ke rumah mereka di no. 7140, Jalan Melati 2, Sungai Kantan, Fasa 2, Kajang. Beliau berkahwin dengan Ismail selama 27 tahun dan pasangan itu dikurniakan enam anak.

Beliau terkilan kerana arwah suaminya tidak dapat menghadiri majlis perkahwinan pertama anak mereka pada hujung tahun ini.

"Suami saya beria-ia sangat hendak menghadiri perkahwinan pertama anak kami," kata Hasnah sambil menambah tiga anaknya masih bujang dan tiga lagi masih bersekolah.

Ismail mencipta sejarah sebagai Senator pertama yang dilantik daripada kalangan Orang Kurang Upaya dan cacat penglihatan di Malaysia.

Allahyarham juga ialah bekas Timbalan Ketua Pengarah Institut Kajian Strategik Antarabangsa, Ketua Pegawai Eksekutif Twintech Holdings dan Naib Canselor Universiti Kolej Antarabangsa Teknologi Twintech.

Allahyarham Ismail dilahirkan di Pasir Mas, Kelantan pada 2 Sept, 1947 dan pernah mendapat pelbagai anugerah atas kecemerlangannya termasuk anugerah Guinness Book of Records sebagai orang cacat penglihatan pertama di dunia mendapat ijazah Doktor Falsafah.

Sementara itu di KAJANG, abang Allahyarham, Zakaria Salleh, 64, berkata jenazah adiknya dijangka tiba di rumah Allahyarham kira-kira 6.30 petang dan akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Sungai Kantan.

Katanya adiknya tidak menunjukkan sebarang tanda sakit sebelum berlepas ke Beijing.

Bagaimanapun, Isnin lepas, Ismail yang menghadapi masalah buah pinggang, telah menjalani rawatan dialisis di Kuala Lumpur.

Zakaria bertindak sebagai "mata", penjaga, pembantu peribadi dan pemandu kepada Ismail sejak kecil.

"Saya telah berjanji dengan arwah mak saya, saya akan jaga dia selama-lamanya," kata beliau. BERNAMA

BERITA TERDAHULU

Profesor Dr Ismail Salleh meninggal dunia

KUALA LUMPUR: Pakar Ekonomi Senator Prof Datuk Dr Ismail Md Salleh meninggal dunia semasa dalam penerbangan dari China ke Singapura awal Khamis.

Menurut pegawai Suruhanjaya Tinggi Malaysia di Singapura, Prof Dr Ismail disahkan meninggal dunia di Hospital Besar Singapura sebaik tiba di hospital itu pada kira-kira pukul 8 pagi.

Hospital itu kini dalam proses bedah siasat untuk mengetahui punca kematian, katanya ketika dihubungi Bernama.

Allahyarham Dr Ismail, 61, mencipta sejarah sebagai Senator pertama yang dilantik daripada kalangan Orang Kurang Upaya (OKU) dan cacat penglihatan di Malaysia.

Beliau juga ialah bekas Timbalan Ketua Pengarah Institut Kajian Strategik Antarabangsa (ISIS).

Bapa kepada enam orang anak itu ialah Ketua Pegawai Eksekutif Twintech Holdings dan Naib Canselor Universiti Kolej Antarabangsa Teknologi Twintech.

Beliau dilahirkan di Pasir Mas, Kelantan pada 2 Sept, 1947 dan pernah mendapat pelbagai anugerah atas kecemerlangannya di bidang pengajian antaranya anugerah Guiness Book of Records sebagai orang cacat penglihatan pertama di dunia mendapat ijazah Doktor Falsafah. BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain