suria

Polis Marin tumpas cubaan seludup gula pasir

ALOR GAJAH: Polis Marin berjaya menumpaskan cubaan menyeludup gula pasir bernilai kira-kira RM1,450 dan menahan empat rakyat asing di Kuala Linggi dekat sini, semalam.

Pegawai Penyelaras Pasukan Gerakan Marin Markas Taktikal Ibu Pejabat Polis daerah Port Dickson ASP Rizal Ramli berkata polis marin menemui 20 guni plastik gula pasir yang setiap guni seberat 50kg, disorok di bahagian depan sebuah bot barter trader dan ditutup dengan kanvas plastik.

Kejayaan itu diperoleh hasil operasi Ops Octopus yang diketuai beliau di jeti Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) di Kuala Linggi dekat sini, pukul 5.30 petang semalam, katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Rizal berkata bot berkenaan membawa muatan kayu bakau dari negara jiran ke negara ini dan pemeriksaan mendapati terdapat gula yang dipercayai untuk diseludup ke negara jiran.

Beliau berkata ketika bot itu ditahan terdapat seramai empat orang termasuk tekong warga Indonesia.

Katanya, kesemua lelaki itu yang mempunyai dokumen perjalanan yang sah, gagal mengemukakan dokumen untuk membawa keluar gula pasir yang menjadi barang kawalan.

Kesemua gula berkenaan dirampas mengikut Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961 yang jika sabit kesalahan boleh didenda maksimum RM100,000 atau penjara tiga tahun atau keduadua sekali.

Rizal berkata gula pasir tersebut akan diserahkan kepada Pejabat Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan Melaka untuk tindakan lanjut.

Sementara itu, Timbalan Pengarah bahagian Penguatkuasaan pejabat itu, Abd Hafidz A Rahim berkata pihaknya akan meneruskan siasatan terhadap pembekal yang membekalkan gula tersebut kerana di luar bungkusan plastik tertera 'gula untuk dieksport'.

Beliau berkata, bekalan gula pasir di Melaka masih mencukupi. BERNAMA

Artikel Sebelum

UPP tahan 6 lelaki Myanmar

Artikel Berikut

Artikel Lain