suria

Bayi lahir tidak cukup bulan antara 5 korban terbaru H1N1

KUALA LUMPUR: Seorang bayi yang dilahirkan tidak cukup umur adalah antara lima kematian terkini akibat Influenza A(H1N1), menjadikan jumlah kematian di negara ini sebanyak 56 kematian.

Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Mohd Ismail Merican dalam kenyataan semalam berkata empat daripada kes kematian mempunyai faktor risiko iaitu obes, diabetes dan TB paru-paru (1 kes), diabetes (1 kes) dan bayi (2 kes).

Katanya, kematian tersebut berlaku pada 8 Ogos (1 kes), 11 Ogos (2 kes) dan 12 Ogos (2 kes).

Menurut beliau, kematian pada 12 Ogos melibatkan bayi tidak cukup bulan berusia 27 minggu yang dimasukkan ke hospital pada 3 Ogos kerana demam, batuk, selesema dan susah bernafas selama tiga hari.

Keadaan bayi berkenaan semakin teruk dan telah diventilasi sebelum ujian swab dan rawatan antiviral diberikan.

Seorang lagi bayi yang meninggal dunia berumur dua bulan yang dimasukkan ke hospital pada 7 Ogos setelah berada dalam keadaan tidak memberikan tindak balas serta pucat.

Katanya, sebelum kejadian itu, bayi berkenaan mula meragam dan kurang minum susu sejak 5 Ogos tetapi tidak demam, batuk atau sesak nafas.

Bagaimanapun, bayi itu telah dimasukkan ke ICU apabila didapati keadaannya semakin kritikal dan meninggal dunia pada 8 Ogos.

Menurut Dr Mohd Ismail, dua lagi kematian melibatkan seorang wanita berumur 49 tahun dan seorang lelaki berumur 57 tahun yang merupakan penghidap diabetes.

Wanita berkenaan, selain obes dan mempunyai diabetes, juga dikesan mempunyai tuberkulosis dan dimasukkan ke hospital pada 29 Julai setelah tidak pulih daripada demam, batuk, sakit tekak dan sesak nafas sejak pertengahan bulan yang sama.

Wanita itu yang dirawat untuk pneumonia dibenarkan pulang pada 3 Ogos dan kemudian dimasukkan semula ke wad empat hari selepas itu untuk rawatan tuberkulosis.

Pada 8 Ogos, beliau telah diberikan antiviral kerana disyaki positif H1N1 sebelum meninggal dunia pada 11 Ogos kerana keadaan kesihatan yang semakin teruk.

Kematian seorang lagi penghidap diabetes adalah pada 12 Ogos akibat sepsis disebabkan pneumonia.

Lelaki berkenaan sebelum itu, mendapat simptom batuk dan selsema pada 2 Ogos tetapi tidak sembuh selepas mendapatkan rawatan.

Lelaki itu kemudian mendapatkan rawatan susulan pada keesokan harinya apabila mengalami demam, muntah dan cirit-birit dan pada hari yang sama dimasukkan ke hospital serta diberikan antiviral.

Seorang remaja lelaki berumur 19 tahun turut menjadi mangsa H1N1 apabila dimasukkan ke wad pada 7 Ogos setelah mengalami demam dan batuk selama dua hari dan diberikan rawatan antiviral.

Remaja itu meninggal dunia empat hari kemudian kerana sesak nafas yang teruk selepas disahkan positif H1N1 pada 8 Ogos.

Sementara itu, Dr Mohd Ismail berkata sebanyak 70 peratus faktor kematian adalah disebabkan faktor risiko kesihatan, 40 peratus didapati lewat mendapat rawatan awal manakala 13 peratus lagi gagal dikesan oleh pengamal perubatan terlebih awal.

"Oleh yang demikian, saya berpendapat ada antara kematian ini dapat dielak sekiranya pesakit dan pengamal perubatan lebih peka dan mengambil tindakan sewajarnya dengan segera," katanya.

Mengenai situasi terkini H1N1, Dr Mohd Ismail memaklumkan terdapat seramai 72 pesakit H1N1 sedang dirawat di wad dan 27 lagi dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU).

Katanya, daripada 27 kes yang berada di ICU, 18 daripada mereka mempunyai faktor risiko iaitu penyakit kronik (10), obesiti (4), kanak-kanak (2), hamil (1) dan selepas bersalin (1).

Dalam pada itu beliau berkata kadar penularan Influenza A(H1N1) di dalam komuniti adalah tinggi dan ini dapat dilihat daripada ramainya pesakit yang datang ke hospital dan klinik untuk mendapatkan rawatan.

Beliau meminta orang awam khususnya mereka yang mempunyai simptom influenza supaya mengambil langkah pencegahan seperti berehat di rumah selepas mendapatkan rawatan jika tidak dimasukkan ke hospital.

Selain itu, guru dan ketua tempat kerja diminta menjalankan saringan harian untuk memastikan mereka yang mengalami simptom tidak meneruskan kerja atau menghadiri kelas.

Sementara ibu bapa atau penjaga diminta memastikan anak mereka yang mempunyai gejala influenza tidak hadir ke sekolah bagi mengurangkan penularan jangkitan dan tidak mengganggu aktiviti pembelajaran di sekolah. BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Lain