suria

Polis ambil keterangan enam pelajar akibat insiden bergusti

KUALA TERENGGANU: Polis telah mengambil keterangan daripada enam pelajar perempuan termasuk dua yang menjadi mangsa dalam insiden pergaduhan sesama sendiri, di sebuah surau di Kampung Ketengah Jaya, Dungun bulan lepas.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri, ACP Mohd Fauzi Abduri berkata kesemua pelajar perempuan terbabit termasuk empat orang yang menjadi dalang dalam kes berkenaan, ialah dari dua buah sekolah menengah di Dungun.

Beliau berkata pihaknya kini akan mendapatkan keterangan daripada pengetua dan guru disiplin sekolah yang terlibat.

"Maklumat itu juga penting kerana pergaduhan ini melibatkan pelajar dari dua buah sekolah menengah berkenaan," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Dalam kejadian di surau Kampung Ketengah Jaya pada 18 Jun lepas, beberapa pelajar senior memaksa dua pelajar tingkatan satu supaya "bergusti" sesama sendiri termasuk memukul mereka, akibat cemburu kerana kedua-dua mangsa mendapat perhatian guru dan merupakan pelajar yang pintar.

Salah seorang mangsa telah membuat laporan di Balai Polis Daerah Kuala Terengganu dua hari lepas, kerana malu setelah adegan pergaduhan itu dirakam dan disebar secara meluas melalui internet.

Berikutan kejadian itu, akhbar hari ini melaporkan bahawa Ketua Pengarah Pelajaran Tan Sri Alimuddin Mohd Dom dipetik sebagai berkata dua pelajar yang terbabit sebagai pengarah dalam rakaman itu, sudah dibuang sekolah.

Seorang pelajar yang menjadi mangsa dalam insiden itu, digantung persekolahan selama dua minggu dan mangsa yang membuat laporan polis digantung persekolahan tiga hari. BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain