suria

Pesalah berumur 50 tahun ke atas tidak terlepas hukuman sebatan

PUTRAJAYA: Seseorang yang berumur 50 tahun ke atas yang sabit kesalahan dan dikenakan hukuman sebat kini tidak terlepas daripada hukuman itu di bawah pindaan Kanun Prosedur Jenayah (CPC), Mahkamah Rayuan di sini diberitahu hari ini.

Timbalan Pendakwa raya Kwan Li Sa berkata ini kerana berkuatkuasa 7 Sept 2007, pindaan Seksyen 289(c) CPC telah memperuntukkan pesalah lelaki berumur 50 tahun ke atas tidak terlepas daripada hukuman rotan.

Beliau berkata pindaan bagi Seksyen 376(3) bagi kesalahan sumbang mahram, Seksyen 376 kesalahan merogol dan Seksyen 377C, 377CA dan 377E, bagi kesalahan seks luar tabie, telah memperuntukkan hukuman sebat minimum sebanyak 10 kali dan ia (10 sebatan) adalah merupakan keperluan bagi kesalahan itu.

Katanya hukuman terhadap pesalah sumbang mahram mestilah mencerminkan betapa seriusnya kesalahan itu sejajar dengan pindaan undang-undang yang menambahkan hukuman maksimum penjara dari 20 tahun kepada 30 tahun.

"Demi kepentingan awam, kesalahan sumbang mahram ini tidak wajar diberikan diskaun kepada perayu," katanya dalam hujahannya ketika membantah rayuan oleh seorang datuk yang berumur 58 tahun terhadap hukuman penjara 40 tahun dan 24 sebatan kerana kesalahan merogol cucunya yang ketika itu berumur 13 tahun.

Datuk itu yang mewakili dirinya sendiri dalam rayuannya memohon mahkamah mengurangkan tempoh hukuman tersebut kerana dia telah insaf dengan perbuatannya.

Lelaki itu telah dijatuhkan hukuman penjara 20 tahun dan 12 sebatan terhadap kesalahan pertama dan kedua dan hakim mahkamah Sesyen Muar, memerintahkan hukuman penjara dan rotan itu berjalan berturut-turut.

Dia kemudiannya merayu di Mahkamah Tinggi tetapi gagal apabila Mahkamah Tinggi menolak rayuannya dan mengekalkan hukuman itu.

Datuk itu didapati bersalah terhadap dua tuduhan merogol cucunya yang tinggal dengannya selepas ibu bapa cucunya itu bercerai. Kesalahan itu dilakukan di pondoknya, di Muar Johor pada 19 Julai 2008, pukul 11 malam dan 1 Ogos 2008, 10.30 malam.

Presiden Mahkamah Rayuan Tan Sri Alauddin Mohd Sheriff yang bersidang bersama Hakim Mahkamah Rayuan Datuk Hasan Lah dan Datuk Ahmad Ma'arop sebulat suara menolak rayuan datuk itu.

Bagi kes lain, mahkamah juga menolak rayuan seorang bomoh terhadap hukuman penjara 15 tahun yang dijatuhkan Mahkamah Sesyen Muar kerana merogol anak kepada seorang bapa yang mendapat rawatan daripadanya.

Pannani Amat Selar, yang mewakili dirinya sendiri memohon mahkamah mengurangkan hukuman penjaranya kerana isteri dia yang bekerja mengait buah kelapa sawit terpaksa menanggung dua anaknya yang masih bersekolah.

Dia didakwa merogol wanita berumur 30 tahun itu di sebuah kebun kelapa sawit di Jalan Parit Bulat, Parit Jawa, Muar Johor pada 16 Nov 2001 antara pukul 8 malam dan 9 malam. Timbalan Pendakwa raya Fatnin Yusof berkata perayu (Pannani) sepatutnya bersyukur kerana terselamat daripada dikenakan sebat memandangkan ketika kesalahan itu, pindaan terhadap sebat belum dibuat dan dia juga berumur lebih 50 tahun.

Fatnin berkata dalam kes ini perayu diberikan kepercayan penuh merawat bapa mangsa yang mengalami sakit barah otak telah mengambil kesempatan merogol mangsa yang berumur 30 tahun.

"Semasa menjalankan rawatan, perayu memberitahu bapa mangsa bahawa beliau perlu merawat semua keluarganya juga. Dia telah mengambil kesempatan atas kepercayaan yang diberi. Apatah lagi perayu merupakan sepupu kepada ayah mangsa," katanya. BERNAMA

Artikel Berikut

Artikel Lain