suria

Malaysia catat 4 kes baru H1N1, jumlah kini 27 kes

KUALA LUMPUR: Malaysia mencatatkan empat lagi kes baru yang disahkan positif influenza A (H1N1) hari ini, menjadikan jumlah keseluruhan kes wabak itu di negara ini ialah 27.

Kesemua empat kes itu adalah kes import, kata Pusat Kesiapsiagaan dan Tindakan Cepat dalam kenyataan di sini hari ini.

Sementara itu, Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Mohd Ismail Merican berkata kesemua 20 kontak kepada kes penularan tempatan pertama pandemik influenza A (H1N1) telah dikenal pasti dan diletakkan di bawah kuarantin rumah.

Kes penularan tempatan itu melibatkan seorang pelajar kolej swasta tempatan yang menpunyai hubungan rapat dengan pesakit kes ke12, katanya dalam kenyataan di sini.

Beliau berkata daripada 27 kes yang dilaporkan, 12 pesakit telah sembuh sepenuhnya manakala 15 kes yang terakhir masih dirawat dan kini beransur pulih serta memberi respon baik kepada rawatan antiviral yang diberikan.

Lima belas pesakit itu kini dirawat di Hospital Sungai Buloh (enam orang), Hospital Kuala Lumpur (dua orang) dan Hospital Tuanku Jaafar, Seremban (tiga orang) dan masing-masing seorang pesakit di Hospital Tengku Ampuan Afzan, Hospital Queen Elizabeth, Kota Kinabalu, Hospital Raja Pemaisuri Bainun, Ipoh dan Hospital Tengku Ampuan Rahimah di Klang.

Beliau berkata daripada 27 kes yang dilaporkan, 16 kes melibatkan rakyat Malaysia, seorang penduduk tetap Malaysia dan 10 rakyat asing, manakala 26 daripada kes yang dilaporkan adalah kes import.

Pada masa ini, seramai 160 orang kontak rapat dengan mereka yang disahkan H1N1 sedang menjalani kuarantin dan kesemua mereka dalam keadaan stabil tanpa simptom jangkitan influenza.

Sehingga kini, wabak itu telah menjangkiti 39,803 orang di 88 negara serta mengakibatkan 167 kematian.

Minggu lepas, Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) mengisytiharkan H1N1 pada tahap pandemik, yang bermaksud penularan telah meluas.

Sehingga kini, penularan tempatan telah dilaporkan di 22 negara dan lapan daripadanya melaporkan penularan yang berterusan. BERNAMA

Artikel Lain