suria

Nozula mohon maaf secara terbuka kepada Husam

KUALA LUMPUR: Anggota Dewan Undangan Negeri Paloh, Datuk Nozula Mat Diah semalam membuat permohonan maaf kepada Naib Presiden PAS Datuk Husam Musa kerana telah membuat laporan tidak benar dan tidak berasas terhadap pemimpin PAS itu kepada Badan Pencegah Rasuah pada 2007.

Notis permohonan maaf itu disiarkan di Berita Harian turut menyatakan bahawa Nozula menarik balik segala pertuduhan tersebut dan melahirkan rasa kesal yang mendalam kerana pertuduhan tersebut telah menyebabkan tekanan kepada Husam dan keluarganya serta memburukkan keperibadian beliau.

Peguam Ahmad Shabrimi Mohamed Sidek yang mewakili Husam, menerusi e-mel menyatakan permohonan maaf secara terbuka itu adalah susulan daripada tindakan undang-undang yang dibuat oleh Husam sebelum ini.

Ahmad Shabrimi berkata pihaknya akan membuat tindakan seterusnya bagi membersihkan nama baik Husam dan dia juga dalam proses rundingan penyelesaian dengan para defendan lain.

Pada 31 Jan lalu, Husam telah menyaman Nozula dan Adun Bukit Bunga Mohd Adhan Kechik serta The New Straits Times Press (M) Berhad bagi menuntut ganti rugi RM6 juta kerana didakwa memfitnahnya dalam satu kenyataan akhbar pada November 2007. BERNAMA

Artikel Berikut

Artikel Lain