suria

BN Perak bertindak ikut undang-undang - Najib

SINGAPURA: Datuk Seri Najib Tun Razak berkata keputusan Mahkamah Rayuan semalam mengisytiharkan Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir sebagai Menteri Besar Perak yang sah menunjukkan bahawa daripada segi prinsip undang-undang, Barisan Nasional telah membuat perkara-perkara yang menepati keperluan undang-undang.

Sambil melahirkan rasa puas hati dan syukurnya, Perdana Menteri berkata keputusan mahkamah itu juga menunjukkan bahawa Sultan Perak Sultan Azlan Shah pun telah membuat keputusan yang menepati peruntukan perlembagaan negeri Perak.

Beliau berkata demikian kepada wartawan Malaysia di akhir lawatan rasmi dua harinya ke Singapura semalam sebagai mengulas keputusan Mahkamah Rayuan semalam yang mendapati keputusan Mahkamah Tinggi pada 11 Mei lepas bahawa Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin adalah Menteri Besar yang sah adalah salah, dan mengetepikan keputusan itu.

Najib berkata : "Kerajaan Perak yang ada sekarang adalah sah di sisi undang-undang dan boleh terus wujud, boleh terus mentadbir negeri Perak dan berkhidmat untuk rakyat Perak."

Beliau berkata dengan keputusan berpihak kepada BN, kerajaan Perak sekarang akan melaksanakan tanggunggawab dan amanahnya dengan bersungguh-sungguh supaya keyakinan rakyat kepadanya dapat dibawa ke peringkat yang jauh lebih baik lagi.

Najib berkata keputusan mahkamah itu juga menunjukkan bahawa kuasa untuk membubar dewan undangan negeri terletak di tangan Sultan Perak dan terpulang kepada budi-bicara baginda untuk memutuskannya.

Mengenai pilihan raya kecil yang bakal berlaku di Manik Urai, Kelantan berikutan kematian wakil rakyatnya Ismail Yaacob, 60, daripada Pas hari ini, Perdana Menteri berkata BN pasti akan bertanding di situ.

Beliau menjawab demikian apabila diminta mengulas kenyataan pengarah pilihanraya Pakatan Rakyat Datuk Mustafa Ali hari ini bahawa beliau berharap BN tidak akan bertanding di Manik Urai sebagaimana ia memutuskan tidak bertanding dalam pilihan raya kecil Penanti di Pulau Pinang.

Najib berkata seperti beliau jelaskan baru-baru ini bahawa ini adalah soal prinsip iaitu jika sesuatu kekosongan kerusi berlaku atas sebabsebab yang termaktub dalam perlembagaan seperti kematian, BN akan mematuhi perlembagaan dengan meletakkan calonnya.

"Tetapi jika kekosongan kerusi berlaku disebabkan mainan politik (seperti di Penanti), maka kita tidak akan menari mengikut rentak mereka," kata Perdana Menteri.

Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Mustapa Mohamed yang juga Pengerusi Badan Perhubungan Umno Kelantan yang turut berada di sini mengikuti delegasi Perdana Menteri pula berkata Umno negeri itu akan mengadakan mesyuaratnya malam ini untuk membuat persiapan bagi menghadapi pilihan raya kecil itu.

Mustapa turut mengucapkan takziah kepada keluarga Allahyarham Ismail.

Sebelum persidangan akhbar itu, Perdana Menteri telah mengunjungi Presiden Singapura S.R. Nathan di Istana manakala bekas perdana menteri Goh Chok Tong kemudiannya mengunjungi Najib di hotel penginapannya. BERNAMA

Artikel Berikut

Artikel Lain