suria

Umno Kelantan disusun semula tarik sokongan padu rakyat

PASIR PUTEH: Jawatankuasa Badan Perhubungan Umno Kelantan akan disusun semula agar lebih mantap bagi mengembalikan kekuatan dan menarik sokongan yang lebih padu daripada rakyat negeri itu.

Pengerusi Badan Perhubungan Umno Kelantan Datuk Mustapa Mohamed berkata satu pelan tindakan sedang digubal dan akan dibentangkan kepada bahagian-bahagian dalam tempoh terdekat.

"Sekarang ini kita sedang merancang untuk menubuhkan biro-biro yang akan diketuai oleh timbalan-timbalan ketua Umno bahagian," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Pesta Air Kelantan di Tok Bali di sini, semalam.

Beliau berkata mulai sekarang beliau akan berjumpa dengan pemimpin empat peringkat termasuk pergerakan Wanita, Pemuda dan Puteri di setiap bahagian, bermula dengan bahagian Pasir Puteh dan diikuti Bachok.

Perbincangan itu bertujuan mengadakan perbincangan dari hati ke hati bagi merangka pelan tindakan yang lebih sesuai, disusuli dengan majlis penerangan di peringkat akar umbi dalam usaha memperkasakan bahagian dan cawangan, katanya.

Mustapa yang juga Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri berkata gerakan itu penting untuk menaikkan semangat jentera parti sebagai persediaan untuk menghadapi pilihan raya umum ke13 kelak. BERNAMA

Artikel Lain