suria

Ahli perniagaan ditahan berhubung rampasan dadah RM254 juta

KUANTAN: Seorang ahli perniagaan bergelar "Datuk" ditahan bagi membantu siasatan berhubung rampasan dadah jenis syabu terbesar di negara ini seberat hampir satu tan yang bernilai kira-kira RM254 juta pada 2 Mei lepas.

Timbalan Pengarah I Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Bukit Aman Datuk Othman Harun berkata lelaki berusia 30an itu ditahan di rumahnya di Johor Bharu pada 1 tengah hari Rabu lepas.

"Polis turut menyita akaun bank bernilai RM2.6 juta milik ahli perniagaan itu selain aset lain termasuk kenderaan untuk siasatan," katanya pada sidang akhbar di sini, hari ini.

Turut hadir ialah Ketua Polis Pahang Datuk Robiah Abdul Ghani.

Othman berkata tangkapan itu susulan daripada penahanan tiga lelaki berusia antara 40 dan 50 tahun sebelum ini.

Dalam kejadian pada 2 Mei lepas, anggota polis yang menjalankan Ops Bersepadu di KM150 Jalan KuantanSegamat dekat Cenderawasih, Rompin, memeriksa sebuah lori dinaiki dua lelaki yang berhenti di bahu jalan.

Bagaimanapun, salah seorang daripada lelaki itu menyembur alat pemedih mata kepada dua anggota polis yang cuba memeriksa muatan lori terbabit sebelum melarikan diri ke kawasan ladang kelapa sawit berhampiran, namun pemandu lori tersebut berjaya ditahan.

Polis kemudian menahan dua lagi lelaki termasuk abang pemandu lori terbabit di sekitar kawasan Cenderawasih.

Polis yang membuat pemeriksaan ke atas lori terbabit menemui 96 kotak yang dibaluti plastik hitam mengandungi dadah jenis syabu seberat 978kg.

Othman berkata dadah terbabit dipercayai dibawa masuk melalui Laut China Selatan dan didaratkan di kawasan pantai Rompin untuk dibawa ke Johor bagi simpanan sebelum diedarkan untuk pasaran tempatan.

"Berdasarkan siasatan awal, kita percaya makmal pemprosesan dadah ini adalah dari negara jiran, namun kita masih cuba mengenal pasti negara terbabit," katanya.

Beliau berkata kejayaan rampasan dadah yang dianggarkan mempunyai nilai pasaran RM260,000 sekilogram itu adalah yang terbesar setakat ini dengan rampasan di makmal pemprosesan termasuk di Semenyih, Selangor dan Lunas, Kedah sebelum ini hanya melibatkan dadah seberat 80 hingga 100kg.

Sementara itu, polis turut meminta orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai seorang lelaki yang dikenali sebagai Lim Han Choo @ Ah Chiao yang beralamat di Taman Sentosa, Klang supaya menghubungi polis bagi membantu siasatan kes berkenaan. BERNAMA

Artikel Lain