suria

Mahkamah Tinggi perintah kerajaan Pulau Pinang bayar RM14 juta

PULAU PINANG: Kerajaan negeri diarahkan membayar kira-kira RM14.68 juta kepada Mahkamah Tinggi Pulau Pinang berhubung kes tanah melibatkan kerajaan negeri dan seorang individu.

Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng berkata, kes itu melibatkan Tang Hak Ju sebagai pemohon dan Ketua Menteri Pulau Pinang, Setiausaha Kerajaan negeri serta Pegawai Kewangan negeri sebagai responden.

"Kes ini masih dalam tempoh rayuan. Sementara menunggu rayuan, mahkamah meminta kerajaan negeri membayar separuh daripada jumlah ganti rugi yang keseluruhannya sebanyak kirakira RM29.36 juta," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Lim berkata, kerajaan negeri akan mengemukakan rayuan kepada mahkamah untuk menangguhkan tempoh bayaran itu.

Pada 19 Februari 2008, Mahkamah Tinggi Pulau Pinang memerintahkan responden mendepositkan RM14.68 juta kepada mahkamah dalam tempoh dua bulan daripada tarikh perintah dikeluarkan.

"Kita akan bentangkan Rang Undang-undang Perbekalan Tambahan pada persidangan Dewan Undangan Negeri pada sesi akan datang Julai ini bagi mendapatkan kelulusan mengeluarkan wang untuk membayar tuntutan itu," katanya.

Skandal tanah itu melibatkan kerajaan negeri sebelum ini yang memajak tanah seluas 4.2 hektar kepada Tang dan kemudiannya membatalkan perjanjian itu.

Kes itu dibawa ke mahkamah dan kerajaan negeri kemudiannya diarahkan untuk membayar RM40 juta kepada pemohon dan selepas rayuan, jumlah itu dikurangkan kepada RM29.35 juta.

Ketika ini, kerajaan negeri sedang menunggu keputusan mahkamah terhadap rayuan bagi mengurangkan lagi jumlah itu. BERNAMA

Artikel Berikut