suria

Adnan mohon tangguh perintah bayar RM63 juta

KUANTAN: Satu permohonan akan difailkan di Mahkamah Tinggi di sini esok bagi menangguhkan keputusan Mahkamah Tinggi Kuantan semalam memerintahkan Menteri Besar Pahang Datuk Seri Adnan Yaakob membayar RM63 juta kepada sebuah syarikat berhubung kegagalan mematuhi kontrak konsesi balak.

Ini disahkan oleh Penasihat UndangUndang Kerajaan Negeri Pahang, Datuk Mat Zara'Ai Alias, ketika dihubungi Bernama hari ini.

Mahkamah Tinggi Kuantan semalam mengarahkan Adnan melunaskan bayaran penghakiman berjumlah RM63 juta kepada Seruan Gemilang Makmur Sdn Bhd kerana melanggar perjanjian pemberian konsesi pembalakan di Mukim Bebar, Pekan, dekat sini.

Dalam satu sidang akhbar di sini hari ini, Adnan berkata bayaran itu tidak dapat dilunaskan kerana kes itu belum diselesaikan.

Pada 17 September tahun lepas, kerajaan Pahang diperintah oleh Mahkamah Persekutuan membayar sejumlah RM60 juta kepada syarikat tersebut selepas kerajaan negeri gagal dalam usaha terakhirnya di Mahkamah Persekutuan untuk mendapat kebenaran merayu.

Mahkamah itu mengekalkan keputusan Mahkamah Tinggi Kuantan pada 25 Mei 2007 yang memerintahkan kerajaan Pahang membayar RM37,127,471.60 beserta faedah lapan peratus setahun mulai 31 Dis 2000.

Adnan berkata kes kerajaan negeri itu ditolak atas sebabsebab teknikal dan kerajaan negeri tidak berpeluang membentangkan kes dengan sewajarnya.

"Kita telah memfailkan permohonan baru pada 22 Disember tahun lepas dan ini akan didengar Jumaat ini," katanya.

Adnan menjelaskan kes saman itu melibatkan syarikat pembalakan dengan kerajaan negeri dan bukan dirinya seorang kerana laporan yang disiarkan media menggambarkan seolah-olah saman itu adalah antara beliau dan syarikat terbabit. BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain