suria

The Star raih "Jenama Terbaik dalam Media", bahasa Inggeris

KUALA LUMPUR: Bernama, Pertubuhan Berita Nasional Malaysia, memenangi Anugerah The Brandlaureate untuk kali kedua berturut-turut.

Bernama memenuhi kriteria bagi "Jenama Terbaik Dalam Media" di bawah kategori agensi berita nasional oleh jawatankuasa pemilihan antarabangsa.

"Kami berbangga usaha kami dalam industri media telah mendapat perhatian," kata Ketua Pengarangnya Datuk Yong Soo Heong selepas menerima anugerah berkenaan pada majlis makan malam Anugerah The Brandlaureate2008/2009 di sini malam ini.

Anugerah itu diterima oleh Pengerusi Bernama Datuk Seri Mohd Annuar Zaini daripada Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi.

"Anugerah ini menjadi satu inspirasi kepada kami untuk terus meningkatkan liputan berita menerusi agensi berita, saluran TV dan radio kami, serta operasi gerbang berita memandangkan ini merupakan tahun kedua kami memenanginya," kata Yong.

Anugerah The Brandlaureate 2008, dianjurkan oleh Yayasan Jenama Asia Pasifik, mengiktiraf peranan penting sumbangan perusahaan kecil dan sederhana kepada pembangunan negara dan pembinaan jenama.

Selain Bernama, The Star meraih "Jenama Terbaik dalam Media" di bawah kategori akhbar berbahasa Inggeris. Antara lain, tiga tokoh menerima Anugerah Personaliti Jenama The Brandlaureate 2008/2009.

Mereka ialah Tan Sri Hamad Kama Piah Che Othman, presiden dan ketua pegawai eksekutif kumpulan Permodalan Nasional Bhd, Tan Sri Vincent Tan, pengerusi dan ketua pegawai eksekutif Berjaya Corp Bhd dan Tan Sri G Gnanalingam, pengerusi eksekutif Westports Malaysia Sdn Bhd.

Kemuncak majlis itu ialah penyampaian anugerah Pencapaian Sepanjang Hayat Brandlaureate Hall of Fame kepada Abdullah di atas sumbangan besar beliau dalam menerajui negara serta memulakan pembaharuan apabila negara amat memerlukannya.

Perdana Menteri menerima anugerah berkenaan daripada Dr K.K. Johan, ketua pegawai eksekutif Yayasan Jenama Asia Pasifik, penganjur anugerah Brandlaureate. BERNAMA

Artikel Lain