suria

Adik Ramli tidak tahu wang lebih RM1juta

KUALA LUMPUR: Adik bekas Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersil Bukit Aman Datuk Ramli Yusoff memberitahu Mahkamah Sesyen di sini hari ini beliau tidak tahu daripada mana datangnya wang RM1.032 juta untuk membeli dua ruang pejabat di Jalan Yap Kwan Seng di sini pada 1999.

Roslina, 44, memberitahu mahkamah beliau juga tidak tahu siapa yang memberikan cadangan untuk membeli keduadua pejabat itu.

"Saya tidak tahu daripada mana datangnya duit tersebut tetapi saya dan kakak Rohmah ada tandatangan pelbagai dokumen dalam pembelian ruang pejabat dan harta tersebut masih didaftar di bawah Bonus Circle Sdn Bhd," jelas Roslina.

Beliau jua memberitahu mahkamah ketika dilantik menjadi pengarah pada 1999, beliau bertugas sebagai pembantu tadbir di Filem Negara dan selaku pengarah di Bonus Circle beliau mendapat RM1,500 setiap tahun.

Ketika pemeriksaan utama oleh Timbalan Pendakwa Raya Datuk Abdul Razak Musa siapa yang mencadangkan pembelian sebuah rumah banglo di Danga Bay, Johor Baharu yang bernilai lebih RM1 juta pada 2003, Roslina berkata cadangan itu datang daripada abangnya Ramli.

"Abang saya yang mencadangkannya untuk kepentingan syarikat tetapi akhirnya syarikat membuat keputusan untuk tidak membeli rumah banglo tersebut dan terpaksa membayar pampasan kepada pemaju lebih RM200,000," kata Roslina.

Roslina berkata demikian semasa memberi keterangan dalam perbicaraan Ramli yang dituduh tidak mengisytiharkan pemilikan 20,000 saham Telekom Malaysia, 154,000 saham dalam Pemaju Industries Berhad dan kepentingan dalam dua ruang pejabat bernilai RM1,032,840.

Ramli, 57, dituduh melakukan ketigatiga kesalahan terbabit di pejabat timbalan pendakwa raya Badan Pencegah Rasuah (BPR)(kini Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia) di Putrajaya pada 17 September, 2007.

Kepada satu soalan, Roslina yang kini menjadi suri rumah berkata beliau ada menandatangani banyak dokumen berkaitan dengan Bonus Circle walaupun tidak membaca isi kandungannya.

Beliau berkata antara sebab beliau berbuat demikian kerana beliau dan kakaknya amat percaya kepada rakan Ramli, Datuk Ling Keak Ming yang membantu menubuhkan syarikat.

Kepada satu soalan susulan daripada Abdul Razak yang ingin tahu siapakah yang mengarahkan beliau menandatangani dokumendokumen itu, Roslina berkata beliau tidak disuruh atau diarahkan oleh sesiapa tetapi berbuat demikian kerana terlibat secara langsung bersama Bonus Circle selaku pengarahnya.

Mengenai satu notis yang dihantar oleh Ramli kepada beliau dan Rohmah untuk membayar balik pinjaman lebih RM1 juta yang diberikan kepada mereka, Roslina memberitahu mahkamah bahawa beliau mengetahui tentang perkara itu.

"Saya dan Rohmah tak mampu bayar balik wang RM1 juta tersebut," kata Roslina.

Perbicaraan di hadapan hakim M. Gunalan bersambung Jumaat iniBERNAMA

Artikel Lain