suria

Wanita Umno mahu ketuanya dilantik secara automatik sebagai Menteri

KUALA LUMPUR: Persidangan perwakilan pergerakan Wanita Umno hari ini meluluskan usul supaya ketua pergerakan itu dilantik secara automatik sebagai menteri atau diberi tempat dalam kabinet.

Usul yang diluluskan tanpa bahas itu dikemukakan oleh empat bahagian iaitu Kangar, Besut, Bagan Serai dan Kuala Terengganu.

Sementara itu, Ketua Wanita Umno Bagan Serai Asmah Ramli semasa membahaskan ucapan dasar Ketua Wanita pada persidangan hari ini turut mencadangkan supaya 30 peratus jawatan menteri dan timbalan menteri diberikan kepada wanita.

Pada masa ini, katanya, hanya dua daripada 30 jawatan menteri diisi oleh pemimpin wanita dan bagi peringkat timbalan menteri hanya tiga daripada 37 jawatan yang ada, walaupun wanita merupakan anggota terbesar dalam Umno.

Beliau juga turut mahu kerajaan mengambil tindakan tegas terhadap sesiapa sahaja yang menderhaka kepada raja dan institusi raja berperlembagaan. Sementara itu, Ketua Wanita Umno Titiwangsa Khadijah Alang Ibrahim pula mahu lebih ramai wanita dilantik menerajui syarikat berkaitan kerajaan (GLC) bagi memenuhi kuota 30 peratus penglibatan wanita yang menjadi hasrat kerajaan sebelum ini.

"Penglibatan wanita dalam GLC ketika ini amatlah kurang walaupun keahlian melebihi semua sayap parti itu," katanya.

Keanggotaan Wanita Umno kini mencecah 1.4 juta orang.

Khadijah berkata ramai kaum wanita yang berkelayakan dan setanding dengan ketua pegawai eksekutif lelaki yang sedang menerajui GLC ketika ini.

Khadijah turut mencadangkan supaya Pakej Rangsangan Ekonomi Kedua berjumlah RM60 bilion yang diumumkan pada awal bulan ini dapat diagihkan kepada usahawan wanita "secara adil."

"Wujudkan satu mekanisme bagi tujuan pengagihan ini bagi membantu menjana ekonomi negara," katanya.

Ketika itu, Pengerusi Tetap Wanita Umno Tan Sri Napsiah Omar mencelah,"pasti dapat kerana dia (Najib) menganggukkan kepala," dan disambut tepukan gemuruh para perwakilan.

Najib yang juga Menteri Kewangan meluangkan masa sehingga Khadijah yang mewakili Wilayah Persekutuan menyelesaikan perbahasannya yang membawa topik ekonomi.

Ketika beliau membangkitkan cadangan itu secara kebetulan Timbalan Presiden Umno, Datuk Seri Najib Tun Razak muncul di pintu masuk Dewan Tun Dr Ismail di mana perbahasan itu berlangsung.

Artikel Berikut

Artikel Lain