suria

Umno-PAS-PKR diminta dialog selesai isu Melayu

SHAH ALAM: Kesatuan Pelajar-Pelajar Melayu Selangor (KPPMS) meminta pemimpin Umno, Pas dan PKR duduk semeja bagi menyelesaikan isu membabitkan kaum Melayu seperti yang dibangkitkan Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah semalam.

Presidennya, Datuk Mat Yasir Ikhsan berkata, pemimpin tiga parti itu perlu mengetepikan fahaman politik masing-masing bagi memastikan teguran baginda bukan sahaja diberi perhatian tetapi juga disertakan dengan tindakan yang sewajarnya.

"Saya faham mungkin akan hadapi kesukaran, tetapi saya ingin ajak mereka supaya dapat duduk dulu semeja dan kemudian berbincang untuk selesai isu yang menyentuh integriti orang Melayu," kata beliau yang mendakwa turut mewakili 12 pertubuhan bukan kerajaan, dalam satu persidangan berita di sini hari ini.

Dalam titah baginda semalam, Sultan Sharafuddin antara lain menyuarakan kebimbangan terhadap orang Melayu di Selangor yang nampak berpecah belah hanya disebabkan perbezaan fahaman politik.

Mat Yasir berkata sebagai langkah awal pihaknya akan menjemput pemimpin-pemimpin dari parti politik di Selangor dahulu memandangkan teguran dibuat oleh oleh Sultan Selangor.

Beliau juga berharap pemimpin parti-parti berkenaan akan memenuhi permintaan KPPMS atas dasar persahabatan yang lama terjalin antara mereka.

Dalam pada itu, Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata, titah Sultan Selangor mengingatkan rakyat Melayu agar mengenepikan fahaman politik masing-masing dan bersatu apabila ada isu-isu yang melibatkan kepentingan orang Melayu dan agama Islam, adalah satu pandangan menyeluruh baginda dan bukan tertumpu kepada kaum Melayu di negeri ini.

Ketika ditemui di sini hari ini, Khalid berkata, Sultan sebelum ini juga menitahkan pendiriannya bahawa baginda berkecuali dalam hal ehwal politik dan titah Baginda itu secara jelas mengingatkan rakyat Melayu sekiranya mereka tidak bersatu, tidak akan mendapat sebarang kekuatan dari segi pembangunannya.

Sementara itu, Khalid berkata, cadangan pihak tertentu yang mengesyorkan elaun Anggota Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco) dan Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) di negeri ini dipotong berikutan kegawatan ekonomi semasa, tidak akan memberi kesan yang sangat besar.

Katanya, jika cadangan itu dilaksanakan, jumlah yang berjaya dikurangkan hanya kirakira RM1 juta, sebaliknya kerajaan negeri sudah merangka langkah merangsang pertumbuhan ekonomi negeri bernilai RM50 bilion.

"Ia satu gerakan yang baik, tapi kalau kita tambahkan pembangunan negeri sebanyak RM50 bilion, saya ingat itu lebih bermakna," tambahnya.

Artikel Lain