suria

Tengku Putera tarik diri bertanding kerusi MT

KUALA TERENGGANU:Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri Terengganu, Datuk Tengku Putera Tengku Awang hari ini mengumumkan menarik diri daripada pertandingan merebut jawatan anggota Majlis Tertinggi (MT) Umno dalam pemilihan parti bulan depan.

Beliau yang juga Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan Umno Terengganu, berkata keputusan untuk tidak mempertahankan jawatan itu ialah supaya beliau dapat menumpukan lebih perhatian dalam memperkuatkan parti di negeri berkenaan.

"Melihat kepada perkembangan politik sekarang serta selepas pilihan raya kecil (Parlimen Kuala Terengganu bulan lepas), kita perlu bekerja lebih keras.

"Saya perlu menyumbangkan tenaga untuk membantu Menteri Besar Datuk Ahmad Said (yang juga Pengerusi Badan Perhubungan Umno Terengganu) untuk memperkukuhkan parti," katanya kepada Bernama di sini hari ini.

Tengku Putera yang juga Ketua Umno Bahagian Hulu Terengganu, berkata walaupun tidak lagi menjadi anggota MT, beliau akan terus memberikan sumbangan bagi memperkuatkan parti terutama di Terengganu.

Katanya, beliau sudah menerima surat pemberitahuan dan borang penerimaan pencalonan yang sepatutnya dikembalikan ke ibu pejabat Umno selewatlewatnya Jumaat ini.

Berikutan keputusan itu, beliau berterima kasih kepada semua bahagian yang mencalonkan dirinya sehingga melepasi kelayakan bertanding jawatan berkenaan.

Tengku Putera seterusnya berharap para perwakilan ke Perhimpunan Agung Umno, yang dijadualkan dari 24 hingga 28 Mac ini, supaya memilih pemimpin Umno lain dari Terengganu menjadi anggota MT. BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain