suria

Anwar: Nasib Elizabeth dibincang selepas bercuti

EXCO Kerajaan Selangor, Elizabeth Wong diberikan bunga dan patung teddy bear oleh penyokong-penyokongnya selepas beliau selesai mengadakan sidang media di Ibu Pejabat PKR pagi ini. - foto The star oleh CHUA KOK HWA
EXCO Kerajaan Selangor, Elizabeth Wong diberikan bunga dan patung teddy bear oleh penyokong-penyokongnya selepas beliau selesai mengadakan sidang media di Ibu Pejabat PKR pagi ini. - foto The star oleh CHUA KOK HWA
EXCO Kerajaan Selangor, Elizabeth Wong diberikan bunga dan patung teddy bear oleh penyokong-penyokongnya selepas beliau selesai mengadakan sidang media di Ibu Pejabat PKR pagi ini. - foto The star oleh CHUA KOK HWA

KUALA LUMPUR: Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim menasihatkan Ahli Dewan Undangan (ADUN) Bukit Lanjan, Elizabeth Wong supaya bercuti bagi menenangkan fikiran berikutan insiden gambar bogelnya yang kini tersebar.

Anwar berkata, Menteri Besar Selangor, Tan Sri Khalid Ibrahim telah memaklumkan kepada beliau bahawa Wong telah diminta bercuti berikutan tekanan yang diterima oleh exco Selangor itu terutama daripada beberapa laman web berhubung insiden tersebut.

"Menteri Besar telah mengesahkan bahawa beliau telah menerima surat mengenai kedudukan Eli (Wong) dan ini saya serahkan kepada kebijaksanaan Menteri Besar.

"Saya faham yang Eli membuat keputusan setelah mempertimbangkan semua opsyen terutama bagi mempertahankan imej dan kredibiliti parti.

"Bagaimanapun, opsyen terbaik sekarang adalah beliau bercuti dan memikirkan semula semua opsyen yang ada dan kemudian datang balik dan berbincang dengan kita," kata beliau pada sidang media di lobi Parlimen hari ini.

Anwar berkata, Wong telah menemuinya dan juga Presiden PKR, Datuk Seri Dr. Wan Azizah dan beberapa pemimpin parti malam tadi di rumahnya bagi menjelaskan perkara itu.

"Kita dengar penjelasan beliau dan berasa simpati terhadap apa yang beliau tanggung berhubung usaha untuk menyerang peribadinya yang sangat jahat.

"Ini satu mainan politik yang sangat buruk yang berlaku dan kita lihat ada satu paten yang menyerang wakil-wakil rakyat kita, dulu di Perak, Kedah dan kini Selangor.

"Saya beritahu pada Eli, kita akan ikhtiar untuk pertahankan nama beliau kerana seperti anda semua maklum, Eli adalah tokoh penting di Selangor dan rekod kerjanya sangat baik sebagai wakil rakyat dan Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri," katanya.

Beliau turut mengecam laman web Agenda Daily yang dikatakan cuba menghina Wong dengar memaparkan gambar yang kurang sopan wakil rakyat itu dan Khalid.

"Cara ini merupakan kerja yang celaka dan jahat. Kerja menghina dan mengaibkan orang. Kalau ada bukti, silakan.

"Saya mahu tanya pimpinan Barisan Nasional (BN) untuk bercakap soal moral dan diketengahkan. Jika mereka konsisten, saya minta Timbalan Perdana Menteri bangun dahulu untuk menjelaskan bahawa beliau ada cukup kekuatan moral untuk menjaga moral rakyat.

"Jangan paksa kita main isu ini kerana kita tidak fikir masuk gelanggang politik untuk mengaibkan orang terutama dalam kamar sendiri," katanya yang mendakwa insiden yang menimpa Wong didalangi oleh Umno dan disokong oleh parti-parti komponen BN.

Ditanya bagaimana beliau pasti bahawa insiden itu didalangi Umno, Anwar berkata: "Buktinya Agenda Daily yang mainkan gambar Eli duduk bersendeng-sendeng dengan MB."

"Anda fikir itu bermoral? Itu jawapan saya."

Beliau turut melahirkan rasa kecewa dengan pihak berkuasa yang mengamalkan double standard dalam menyiasat kes-kes yang melibatkan pembangkang.

Berhubung isu 'lompat parti' yang telah menumbangkan kerajaan di Perak, Anwar berkata, beliau sebelum ini menawarkan kepada sesiapa sahaja untuk menyertai parti itu.

"Saya sebelum ini mengatakan kepada beliau (merujuk kepada ADUN Bota, Datuk Nasaruddin Hashim), jika mahu menyertai kita, beliau sendiri harus membuat kenyataan dan jika mahu memberi penjelasan kepada rakyat di kawasannya, saya sedia bersama beliau," katanya.

Nasarudin kembali semula kepada Umno selepas dua minggu menyertai PKR.

"Ia bukan dengan cara memberi menculik mereka selama seminggu dan kemudian tiba-tiba muncul bersama Najib dan kemudian hilang lagi," katanya yang merujuk kepada ADUN Behrang, Jamaluddin Mohd Radzi; ADUN Changkat Jering, Mohd Osman Mohd Jailu dan ADUN Jelapang, Hee Yit Foong.

Ketiga-tiga ADUN tersebut keluar daripada PKR 2 Februari lalu dan menjadi ADUN Bebas tetapi menyokong BN.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain