suria

Zahid: Tidak kurang 10 nama calon Bukit Gantang

KUALA LUMPUR: Tidak kurang daripada 10 nama disenaraikan sebagai calon Umno bagi pilihan raya kecil Parlimen Bukit Gantang, Perak, April ini, kata Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan Umno Perak Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Beliau berkata keputusan akhir mengenai calon yang akan mewakili Barisan Nasional (BN) hanya akan diputuskan oleh Presiden Umno yang juga Pengerusi BN, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi.

"Biarlah kita putuskan setelah rundingan dibuat. Dan itu hak mutlak Presiden untuk tentukan calon," katanya kepada pemberita selepas majlis menandatangani perjanjian persefahaman (MoU) di antara BMB Group dan Pertubuhan Zakat Antarabangsa di sini hari ini.

Mengenai latar belakang calon, Ahmad Zahid yang juga Menteri di Jabatan Perdana Menteri berkata calon yang dipilih nanti boleh diterima oleh kebanyakan pengundi selain mampu memberikan kemenangan kepada BN pada pilihan raya itu.

"Yang penting bukan individu itu atau parti yang diwakilinya tapi yang penting adalah BN kerana ini adalah imej kepada parti pemerintah. Pada tanggapan orang ramai dan masyarakat antarabangsa di luar sana, apabila ada calon Umno dan BN mengalami kecundangan, maka dianggap itu adalah pengaruh yang mula terpinggir di kalangan BN dan Umno. "BN tidak ada pilihan lain, melainkan memperolehi kemenangan di manamana kawasan yang kita terpaksa menghadapi pilihan raya kecil," kata Ahmad Zahid.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan pilihan raya kecil Parlimen Bukit Gantang diadakan pada 7 April serentak dengan pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri(DUN) Bukit Selambau, Kedah. Hari penamaan calon bagi keduadua pilihan raya itu ditetapkan pada 29 Mac.

Kerusi Parlimen Bukit Gantang kosong berikutan kematian Roslan Shaharum daripada PAS pada 9 Februari lepas akibat sakit jantung manakala DUN Bukit Selambau pula kosong ekoran peletakan jawatan V. Arumugam daripada PKR pada 8 Februari.

Mengenai pertandingan jawatan Naib Presiden Umno pada pemilihan Umno bulan depan, beliau berkata kesemua sembilan calon merebut jawatan berkenaan mempunyai peluang yang sama rata tanpa mengira sama ada beliau itu mendapat pencalonan tinggi atau tidak.

"Apabila melepasi tahap 20 pencalonan, semua calon adalah sama tahap, sama taraf dan sama peluang untuk memenangi jawatan itu. Walaupun calon-calon sedang sibuk berada di banyak tempat dan lokasi tertentu, pada hemat saya, perwakilan telah menetapkan di hati dan minda mereka siapakah yang akan diundi sebagai Naib Presiden nanti," katanya.

Ahmad Zahid berkata sekiranya terpilih sebagai Naib Presiden, antara misi beliau ialah bekerjasama dengan dua lagi rakan sejawatan untuk melakukan beberapa pendekatan baru untuk mengekalkan sokongan sedia ada, menarik sokongan baru terutama di kalangan anak muda dan meningkatkan prasangka yang baik di kalangan bukan Melayu terhadap Umno.BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain