Ahli Parlimen bersimpati nasib dialami Elizabeth Wong - Semasa | mStar

Ahli Parlimen bersimpati nasib dialami Elizabeth Wong

KUALA LUMPUR: Berita tersebarnya gambar berkeadaan "bogel" Exco Kerajaan Negeri Selangor, Elizabeth Wong menjadi bahan perbualan hangat di Parlimen pagi ini - hari perasmian mesyuarat pertama penggal kedua Parlimen Ke-12.

Bagaimanapun Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Syed Hamid Albar memberi jaminan pihaknya akan menjalankan siasatan terperinci berhubung isu tersebut.

Sehubungan itu kata beliau, adalah terlalu awal untuk mengatakan siapa yang bertanggungjawab merakam dan menyebarkan gambar-gambar berkenaan.

"Beliau (Wong) sudah pun membuat laporan polis, biarkan mereka melakukan siasatan," kata beliau kepada pemberita di lobi bangunan Parlimen hari ini.

Wong merupakan Ahli Dewan Undangan Negeri Bukit Lanjan.

Ketua Puteri Umno, Datuk Noraini Ahmad berkata, beliau tidak melihat gambar-gambar yang dimaksudkan, tetapi apa yang penting ialah privasi wakil rakyat berkenaan perlu dihormati.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz pula memberitahu, beliau bersimpati dengan nasib dialami Wong.

"Ini tidak seharusnya berlaku dan saya berharap beliau akan mencari kekuatan untuk menghadapinya dan jangan ambil peduli isu ini," kata beliau.

Artikel Sebelum

4 ditahan edar risalah berbaur politik

Artikel Berikut

Bayi dalam laci anak pembantu rumah

Artikel Berkaitan

Lebih Artikel