suria

Umno Cheras kemuka memorandum syor mesyuarat khas Majlis Raja-raja

KUALA LUMPUR: Umno Bahagian Cheras akan menghantar memorandum kepada Majlis Raja-Raja Melayu Isnin ini bagi meminta supaya mesyuarat khas diadakan bagi membincangkan perbuatan pihak tertentu sejak akhir-akhir ini yang cuba mencemar kedaulatan institusi Raja Berperlembagaan di negara ini.

Ketuanya, Datuk Syed Ali AlHabshee berkata mesyuarat khas itu perlu kerana ada pihak tertentu kini telah menunjukkan sikap biadap dan melampaui batas dan cuba menguji tahap kesabaran orang Melayu terutama dalam soal menjunjung kedaulatan Sultan serta Raja-Raja Melayu.

Bercakap kepada pemberita selepas Perhimpunan Taat Setia Kepada Raja di Pusat Rekreasi Cheras di sini, hari ini beliau berkata, sikap biadap dan keterlaluan itu ketara dengan kedegilan Pengerusi DAP Karpal Singh yang mahu menyaman Sultan Perak Sultan Azlan Shah dalam soal pelantikan Menteri Besar Perak, Datuk Dr. Zambry Abdul Kadir.

Semalam Sultan Selangor Sultan Shafaruddin Idris Shah menyifatkan tindakan pihak tertentu mengadakan demonstrasi jalanan kerana membantah titah Sultan Perak berhubung pelantikan kerajaan baru di Perak sebagai biadap.

Syed Ali berkata, Sultan Selangor telah bertitah melahirkan rasa dukacita baginda dengan apa yang berlaku dan ini bermakna perasaan Raja-Raja Melayu telah terluka dengan perbuatan biadap pengerusi DAP itu serta pihak lain yang terlibat.

"Sebelum seluruh Raja-Raja Melayu dan menzahirkan perasaan baginda yang terluka dengan perbuatan Karpal secara terbuka melalui akhbar, maka kerajaan perlu segera bertindak tegas termasuk menggunakan ISA terhadap pemimpin DAP itu," tegas Syed Ali.

Sementara itu, di JOHOR BAHARU, Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna Datuk Shahrir Abdul Samad teguran Sultan Selangor itu perlu diambil perhatian oleh semua pihak.

Beliau berkata, setiap rakyat terutama pemimpin politik harus sedar negara ini mempunyai perlembagaan dan perlu mempertahankan kedaulatan undang-undang seperti yang telah termaktub.

"Sebagai pemimpin kita patut lebih memahami perlembagaan dan perlu pisahkan emosi dalam undangundang.

"Kalau kita bergerak mengikut emosi maka kita tidak akan mencapai kemajuan negara," katanya selepas merasmikan karnival persatuan pengguna kenderaan NGV, di sini.

Di SHAH ALAM, Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata, titah Sultan Selangor itu memberikan mesej jelas kepada rakyat mengenai cara dan tatatertib untuk berhubung dan berinteraksi dengan institusi Raja.

Beliau berkata, teguran baginda itu bertujuan mengingatkan rakyat supaya menggunakan pertimbangan akal fikiran waras sebelum mengambil sebarang tindakan yang boleh mencabar hak, peranan serta kedudukan raja atau sultan yang dijamin melalui Perlembagaan Persekutuan.

"Sultan Selangor hanya mahu mengingatkan masyarakat Malaysia khasnya bahawa sistem perlembagaan negara mahupun sistem perlembagaan negeri Selangor adalah sistem raja berperlembagaan," kata Khalid kepada pemberita selepas menyampaikan hadiah kepada pemenang peringkat keenam Perlumbaan Le Tour de Langkawi (LTdL) hari ini. BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain